Bekas pengerusi Tourism Malaysia, Wee Choo Keong mempersoalkan Suruhanjaya Sekuriti (SC) berhubung siasatan dakwaan rasuah membabitkan bos-bos AirAsia yang dihentikan selepas campur tangan badan kawal selia pasaran itu dua tahun lalu.
Dalam sebuah ciapan Twitter yang turut menandakan Pengerusi SC Syed Zaid Albar, Wee yang merupakan bekas ahli Parlimen bertanya sama ada Zaid masih menjadi pengerusi suruhanjaya itu susulan pendedahan MalaysiaNow bulan lalu bahawa SC campur tangan bagi menghentikan siasatan Bursa Malaysia ke atas AirAsia.
“SC sorok kes?” soalnya.
Siasatan tersebut dimulakan oleh Bursa Malaysia selepas dokumen mahkamah difailkan di United Kingdom (UK) pada awal 2020, menamakan syarikat penerbangan itu sebagai salah satu syarikat yang menerima rasuah dari Airbus.
Dalam dokumen tersebut, Serious Fraud Office (SFO) yang merupakan pihak berkuasa anti rasuah Britain berkata Airbus membayar rasuah sebanyak AS$50 juta bagi mendapatkan tempahan pesawat dari AirAsia, di mana penyiasat percaya ia adalah sebahagian daripada kaedah rasuah digunakan syarikat pengeluar pesawat yang berlaku di lebih 10 negara termasuk Malaysia.
Pendedahan: Bagaimana SC hentikan siasatan Bursa Malaysia ke atas AirAsia
Selepas 2 tahun, siasatan SC ke atas AirAsia timbulkan persoalan
Ia juga mendakwa Airbus memberikan suapan kepada AirAsia sebanyak AS$50 juta dalam bentuk tajaan pasukan sukan dimiliki dua orang yang dinamakan sebagai “Eksekutif 1” dan “Eksekutif 2” dalam AirAsia.
“Eksekutif 1 dan Eksekutif 2 AirAsia adalah penentu keputusan dalam AirAsia dan AirAsia X, mereka menerima ganjaran berikutan tempahan sebanyak 180 pesawat dari Airbus. Pembayaran kepada pasukan sukan itu bertujuan untuk mendapatkan atau memberi ganjaran terhadap bantuan tidak wajar oleh mereka berkenaan urus niaga tersebut,” kata SFO dalam dokumen mahkamah yang dilihat MalaysiaNow,” kata SFO dalam dokumen mahkamah yang dilihat oleh MalaysiaNow.
Susulan itu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) AirAsia Tony Fernandes dan Pengerusi Eksekutifnya, Kamarudin Meranun kemudiannya mengumumkan bahawa mereka meletakkan jawatan sepanjang tempoh siasatan dalaman dilaksanakan syarikat itu.
Namun, pada penghujungnya, siasatan tersebut membersihkan nama kedua-duanya dan mereka kembali menduduki jawatan utama dalam syarikat itu.
Bulan lalu, MalaysiaNow mendedahkan ketika Bursa Malaysia melancarkan siasatan berhubung dakwaan terhadap syarikat itu, namun ia tidak dapat meneruskan siasatan berikutan campur tangan SC.
MalaysiaNow juga turut dapat mengesahkan antara 11 dan 12 Februari 2020, SC meminta Bursa untuk menghentikan siasatan dan semua bentuk komunikasi dengan AirAsia Group Berhad dan AirAsia X Berhad berhubung isu-isu membabitkan Airbus.
Ketika dihubungi mengenai status siasatan, SC memberitahu MalaysiaNow mereka tidak boleh memberikan ulasan mengenai siasatan tersebut.
SC juga tidak memberikan sebarang penjelasan sejak MalaysiaNow melaporkan siasatannya yang masih belum selesai mengenai AirAsia.