- Iklan -
Berita

Kembali pulih kukuhkan keyakinan Dr Mahathir terhadap kepakaran perubatan Malaysia

Bekas perdana menteri itu berkata beliau sentiasa yakin doktor tempatan mempunyai kebolehan yang sama seperti di luar negara.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad.
Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad.

Dr Mahathir Mohamad hari ini berkata kebolehan doktor tempatan untuk merawat kes perubatan yang rumit dibuktikan sepanjang kemasukannya ke Institut Jantung Negara (IJN), mengatakan beliau sentiasa yakin dengan kemampuan doktor Malaysia yang sama tahapnya dengan pakar luar negara.

Pemimpin veteran berusia 96 tahun yang mengalami masalah kesihatan awal tahun ini sehingga menarik tumpuan seluruh negara berkata, beliau juga turut dilatih sebagai seorang doktor.

Bercakap dalam majlis kesyukuran dihadiri doktor IJN, beliau mengenang sewaktu orang ramai tidak mempercayai doktor tempatan ketika bertugas sebagai doktor pada akhir 1950-an.

“Pada waktu itu, tak ada yang percaya dengan doktor Malaysia, lebih-lebih lagi doktor Melayu.

“Doktor di hospital pada waktu dipanggil sebagai pembantu pegawai perubatan. Tiada orang Asia yang boleh menjadi pegawai perubatan penuh. Semua orang dipanggil sebagai pembantu pegawai perubatan, dan mereka juga bahkan tidak dibenarkan untuk menjalankan prosedur mudah seperti pembedahan appendicitis. Orang ramai tak percaya pada doktor Malaysia.”

Mahathir yang mempunyai sejarah sakit berkaitan jantung berkata ketika pertama kali mengalami serangan jantung, beliau diberitahu untuk pergi mendapatkan rawatan di Mayo Clinic di Amerika Syarikat (AS).

“Namun saya tanya apakah kita boleh buat rawatan di Malaysia,” tambahnya.

“Ya, kita boleh. Pada waktu itu beberapa orang doktor sudah boleh buat pembedahan jantung. Jadi saya ambil keputusan untuk dibedah di Malaysia, di Hospital Kuala Lumpur.”

Mahathir dimasukkan semula ke IJN pada Januari selepas menjalani prosedur elektif dan pemeriksaan kesihatan tidak berapa lama selepas sambutan tahun baru.

Dalam sebuah video selepas dibenarkan pulang ke rumah, beliau berkata keadaan ketika dimasukkan ke IJN adalah sangat teruk sehinggakan adakalanya beliau tidak harap untuk pulih semula.

(https://www.malaysianow.com/berita/2022/02/09/sakit-saya-amat-teruk-adakala-tak-harap-untuk-pulih-kata-dr-mahathir/)

Bercakap hari ini, Mahathir berkata beliau meyakini orang Malaysia mampu melakukan apa yang dilakukan pakar dari negara lain.

“Bagi saya ini adalah satu keajaiban,” tambahnya.

“Saya tak jangka akan dapat teruskan hidup. Saya jangka saya akan mati kerana sudah tua, selain turut mengalami penyakit serius yang memberikan kesan kepada jantung saya.”

Namun, Mahathir yang mempromosikan slogan “Malaysia Boleh” ketika pusingan pertama sebagai perdana menteri berkata “bagaimanapun doktor (di IJN) berjaya memulihkan kesihatannya.”

“Akhirnya, saya dibenarkan pulang dan kembali sihat. Tidaklah 100% tetapi cukup untuk saya sambung beberapa kerja yang saya mahu lakukan.”

Mengucapkan terima kasih kepada doktor di IJN yang merupakan institusi yang ditubuhkan ketika pentadbiran beliau, Mahathir berkata tidak tahu bagaimana hendak membalas budi mereka.

“Saya nak beri RM100 seorang, tapi itu sudah jadi rasuah pula,” katanya.

Sambil menyerahkan sijil penghargaan kepada pasukan perubatan yang merawatnya, beliau berseloroh ia mungkin kali pertama seorang pesakit berikan sijil kepada doktornya.

“Sebabnya, saya tak cukup RM100,” katanya berseloroh.

Ikuti kami di WhatsApp & Telegram

Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.

Langgan berita kami

Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.

Kongsi
- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.