- Iklan -
Berita

Prasarana siasat kejadian video tular kakitangan pukul orang awam

Prasarana memaklumkan pihaknya belum mengenal pasti tarikh, masa dan lokasi kejadian terbabit.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Anggota polis bantuan RapidKL di bawah Prasarana membuat kawalan di Stesen LRT Masjid Jamek. Syarikat itu sedang menjalankan siasatan terhadap sebuah video tular yang memaparkan lelaki memakai uniformnya memukul orang awam.
Anggota polis bantuan RapidKL di bawah Prasarana membuat kawalan di Stesen LRT Masjid Jamek. Syarikat itu sedang menjalankan siasatan terhadap sebuah video tular yang memaparkan lelaki memakai uniformnya memukul orang awam.

Prasarana menjalankan siasatan serta-merta dan terperinci berhubung video tular di media sosial yang memaparkan seorang lelaki berpakaian seragam syarikat itu bertindak memukul orang awam di sebuah kedai serbaneka.

Prasarana dalam kenyataan memaklumkan pihaknya belum mengenal pasti tarikh, masa dan lokasi kejadian terbabit.

“(Prasarana) memandang serius dakwaan bahawa si pemukul adalah kakitangan Prasarana berdasarkan pakaian seragam yang dipakai dalam video berkenaan.

“Dipercayai kejadian berlaku apabila mangsa ditangkap dan dituduh mengambil makanan tanpa membayar di kedai serbaneka berkenaan,” menurut kenyataan itu.

Justeru Prasarana menyeru orang awam yang menyaksikan kejadian tersebut atau mempunyai maklumat supaya menghubungi talian 03-7885 2585 atau emel ke [email protected].

Prasarana menegaskan tingkah laku si pemukul adalah bertentangan dengan kod etika kerja syarikat pengangkutan awam itu.

“Dalam apa jua situasi, sekiranya memerlukan bantuan lanjut, ia sepatutnya dipanjangkan kepada pihak berkuasa,” menurut kenyataan itu.

Prasarana juga memohon maaf atas kejadian itu dan memberi jaminan tindakan susulan yang bersesuaian akan diambil bagi memastikan perkara sama tidak berulang di masa hadapan.

Hari ini, tular satu video di media sosial yang memaparkan seorang lelaki dipercayai staf Prasarana bertindak memukul seorang lelaki, dipercayai warga asing, dalam sebuah kedai serbaneka.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.