- Iklan -
Berita

Tiada tol selama 7 hari di sempadan Johor-Singapura mulai Jumaat

Ia bagi memastikan kelancaran lalu lintas berikutan pembukaan sempadan laluan darat bermula 1 April.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Trafik di tempat pemeriksaan Woodlands di Singapura dari Johor. Sempadan Malaysia dan Singapura ditutup sejak pandemik Covid-19 melanda negara. Gambar: AFP
Trafik di tempat pemeriksaan Woodlands di Singapura dari Johor. Sempadan Malaysia dan Singapura ditutup sejak pandemik Covid-19 melanda negara. Gambar: AFP

Kerajaan bersetuju memberikan pengecualian bayaran tol selama tujuh hari melibatkan semua jenis kenderaan di sempadan Malaysia-Singapura sempena pembukaan semula laluan darat kedua-dua negara bermula Jumaat ini.

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob berkata pengecualian itu membabitkan plaza tol Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) di Bangunan Sultan Iskandar (Tambak Johor) dan Tanjung Kupang (Lebuh Raya Linkedua) di Johor.

“Ia adalah selaras dengan pendekatan untuk memudah cara perjalanan rentas sempadan dengan Singapura. Pengecualian ini adalah untuk rakyat Malaysia dan pengguna menambah nilai atau memperbaharui ‘Touch ‘n Go’ dan ‘SmartTag’,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata keputusan memberikan pengecualian bayaran tol melibatkan perjalanan masuk dan keluar menerusi kedua-dua plaza itu bagi memastikan kelancaran lalu lintas berikutan pembukaan sempadan laluan darat yang ditutup sejak dua tahun lepas akibat pandemik Covid-19.

“Pengecualian ini adalah tambahan kepada pengecualian caj jalan (CJ) yang dikenakan kepada kenderaan persendirian pendaftaran Singapura apabila memasuki Malaysia melalui laluan darat di kedua-dua lokasi,” katanya.

Ismail berkata sempena pembukaan semula sempadan, PLUS Malaysia Berhad (PLUS) menganggarkan sekurang-kurangnya 42,000 kenderaan akan memasuki Malaysia menerusi Tambak Johor dan Linkedua setiap hari.

“Keputusan pelepasan tol ini akan memanfaatkan lebih 300,000 perjalanan rentas sempadan Malaysia-Singapura bagi pemilik-pemilik kenderaan,” katanya.

Perdana menteri berkata bagi memastikan perjalanan lancar, PLUS dengan kerjasama kerajaan negeri Johor serta kementerian dan agensi berkaitan juga giat melakukan persiapan akhir termasuk persiapan di plaza-plaza tol, kawasan rehat dan semua kemudahan awam yang disediakan di lebuh raya PLUS.

“Kerajaan mengalu-alukan kepulangan rakyat Malaysia di Singapura dan ketibaan rakyat Singapura ke Malaysia dengan pembukaan semula sempadan negara ini,” katanya.

Ismail berkata bermula 1 April juga, semua pengembara yang lengkap vaksinasi dibenar merentas sempadan darat tanpa perlu menjalani kuarantin atau melaksanakan ujian Covid-19 termasuk ujian prapelepasan dan semasa ketibaan.