- Iklan -
Berita

Walau dikecam hebat, Singapura laksana hukuman mati pertama sejak 2019

Aktivis menyifatkan pelaksanaan hukuman ke atas Abdul Kahar Othman hari ini menjadi permulaan bagi beberapa lagi hukuman mati yang dijadualkan sejak tahun lalu.

AFP
2 minit bacaan
Kongsi
Gambar fail menunjukkan seorang pengawal bersenjata api di pintu masuk Penjara Changi, Singapura. Gambar: AFP
Gambar fail menunjukkan seorang pengawal bersenjata api di pintu masuk Penjara Changi, Singapura. Gambar: AFP

Seorang pengedar dadah Singapura menjalani hukuman gantung sampai mati hari ini, menjadikannya pelaksanaan pertama hukuman itu sejak 2019, kata aktivis.

Pelaksanaan hukuman tersebut tetap dijalankan walaupun Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan kumpulan hak asasi manusia membuat rayuan supaya pengampunan diberi kepadanya.

Ia berlaku selepas sehari rayuan hukuman mati seorang warga Malaysia ditolak di mahkamah republik itu di mana ia disifatkan aktivis sebagai permulaan bagi beberapa pelaksanaan hukuman mati.

Menurut seorang aktivis Singapura, Abdul Kahar Othman yang dijatuhi hukuman mati pada 2015 telah menjalani hukumannya awal hari ini.

“Tenanglah dikau di sana,” ciap aktivis Kirsten Han di Twitter.

“Kita semua patut malu dengan apa yang dilakukan oleh kerajaan atas nama kita hari ini.”

Seorang ahli kumpulan sokongan bagi ahli keluarga banduan bilik akhir di Singapura juga turut mengesahkan pelaksanaan hukuman itu terhadap Kahar.

Menurutnya yang tidak mahu dinamakan, pihaknya sedang menunggu jenazah Kahar tiba di tanah perkuburan Islam.

Dalam pada itu, pihak berkuasa Singapura tidak memberikan sebarang respons ketika dihubungi untuk mengesahkan pelaksanaan hukuman tersebut.

Menurut perkhidmatan penjara, Singapura melaksanakan hukuman mati terakhirnya sebelum ini pada 2019 di mana empat orang telah menjalani hukuman gantung.

Singapura yang terkenal maju namun konservatif dari segi sosio budayanya mempunyai peruntukan undang-undang berkaitan dadah paling keras di dunia.

Kritikan dan kecaman kumpulan hak asasi manusia terhadap peruntukan hukuman mati di negara itu juga terus meningkat sejak kebelakangan ini di mana mereka menuntut ia dimansuhkan.

Bagaimanapun, pihak berkuasa menegaskan peruntukan hukuman mati dalam undang-undangnya menjadi pencegah berkesan bagi jenayah-jenayah berkaitan dadah selain turut membantu Singapura menjadi antara negara yang paling selamat di Asia.

Menurut Transformative Justice Collective, sebuah kumpulan anti hukuman mati di Singapura, Kahar yang berusia 68 tahun telah disabitkan kesalahan mengedar heroin pada 2013 dan dijatuhi hukuman mati dua tahun kemudian.

Beliau pertama kali dipenjarakan pada usia 18 tahun dan menghabiskan hidupnya dengan beberapa kali menjalani hukuman penjara atas kesalahan berkaitan dadah.

Pada Selasa, pejabat hak asasi manusia PBB menggesa pihak berkuasa untuk tidak meneruskan hukuman gantung terhadap Kahar.

“Kami bimbang dengan peningkatan notis pelaksanaan hukuman mati (di negara itu) tahun ini,” kata badan itu dalam sebuah ciapan Twitter.

Semalam, rayuan terakhir banduan kurang upaya (OKU) mental Nagaentran K Dharmalingam turut ditolak mahkamah di mana dia mungkin bakal menjalani hukuman mati dalam masa beberapa hari lagi.

Kes Nagaenthran yang merupakan warga Malaysia itu telah mengundang kecaman antarabangsa termasuk dari Kesatuan Eropah (EU) dan taikun Britain Richard Branson.

Selain Nagaenthran, mahkamah turut menolak rayuan tiga banduan bilik akhir lain pada awal Mac.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.