- Iklan -
Berita

Didakwa edar ganja, penyanyi Yasin berdepan hukuman gantung sampai mati

Beliau mendengar pertuduhan mengedar ganja di Mahkamah Majistret dan Mahkamah Sesyen hari ini.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Penyanyi dan komposer terkenal, Yasin Sulaiman (tiga dari kiri) tiba di Mahkamah Petaling Jaya hari ini bagi mendengar pertuduhan kesalahan berkaitan dadah. Gambar: Bernama
Penyanyi dan komposer terkenal, Yasin Sulaiman (tiga dari kiri) tiba di Mahkamah Petaling Jaya hari ini bagi mendengar pertuduhan kesalahan berkaitan dadah. Gambar: Bernama

Penyanyi nasyid dan komposer Yasin Sulaiman berdepan hukuman gantung sampai mati selepas didakwa di Mahkamah Majistret Petaling Jaya hari ini atas pertuduhan mengedar dadah jenis ganja di kediamannya pada 24 Mac lalu.

Yasin, 47, kelihatan tenang ketika pertuduhan dibacakan di hadapan majistret Zhafran Rahim Hamzah.

Mengikut pertuduhan, penyanyi yang popular dengan lagu Mimpi Laila itu didakwa mengedar dadah jenis ganja beranggaran seberat 214 gm.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah unit kondominium di Persiaran Surian Damansara Indah Resort Home, PJU 3 Kota Damansara pada jam 5.30 petang, 24 Mac lalu.

Berikutan itu, beliau didakwa mengikut Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta sama.

Jika disabitkan bersalah, Yasin bakal berdepan hukuman penjara seumur hidup atau gantung sampai mati atau sekiranya tidak dihukum mati boleh disebat maksimum 15 sebatan.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan kerana kes tersebut di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Sementara itu, Yasin mengaku tidak bersalah bagi satu lagi pertuduhan di hadapan hakim Norshila Kamaruddin di Mahkamah Sesyen.

Tertuduh didakwa menanam 17 pokok ganja dalam pasu plastik berisi tanah merah di lokasi, waktu dan tarikh sama.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 6B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 6(B)(3) akta sama di mana ia memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup dan sebatan tidak kurang enam kali jika sabit kesalahan.

Pendakwaan kes dikendalikan timbalan pendakwa raya Mohammad Al-Saifi Hashim dan Asnawi Abu Hanipah manakala tertuduh diwakili peguam Yusmadi Yusoff.

Mahkamah juga tidak membenarkan ikat jamin terhadap Yasin dan menetapkan 18 Mei bagi sebutan semula kes.