- Iklan -
Berita

Pelawat antarabangsa kembali ke Malaysia selepas sempadan dibuka semula

Pembukaan sempadan negara hari ini menyaksikan ketibaan ramai warga asing yang berhasrat bercuti dan menjalankan urusan perniagaan.

Azzman Abdul Jamal
2 minit bacaan
Kongsi
Pelancong dari luar negara berjalan keluar dari balai ketibaan KLIA pada hari pertama pembukaan pintu sempadan antarabangsa susulan peralihan ke fasa endemik yang bermula hari ini.
Pelancong dari luar negara berjalan keluar dari balai ketibaan KLIA pada hari pertama pembukaan pintu sempadan antarabangsa susulan peralihan ke fasa endemik yang bermula hari ini.

Pembukaan pintu sempadan antarabangsa negara yang bermula hari ini selepas dua tahun penutupan, menyaksikan ketibaan ramai pengunjung warga asing teruja untuk melancong dan bercuti di Malaysia.

Dalam temu bual bersama media yang menunggu di balai ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pagi tadi, pengunjung yang tiba dari pelbagai negara termasuk Eropah meluahkan keterujaan mereka sebaik tiba ke negara ini selepas tidak dapat berbuat ekoran penutupan sempadan selepas pandemik Covid-19 diumumkan pada awal 2020.

Menurut pelancong dari Perancis yang hanya mahu dikenali sebagai Philip, kali terakhir beliau berada di negara ini adalah dua tahun lalu sebelum Malaysia dilanda Covid-19 dan beliau sangat gembira apabila akhirnya dapat kembali menjejakkan kaki sekali lagi di negara ini.

“Saya suka semua perkara tentang Malaysia. Makanannya sedap, cuacanya baik, malah masyarakatnya sangat mesra,” katanya sebaik beliau turun dari pesawat.

“Ini bukan kali pertama saya datang ke Malaysia. Saya sangat teruja dapat kembali pada hari pertama (pintu sempadan dibuka).”

Tambah Philip, beliau merancang untuk berada di Malaysia selama sebulan.

Pada awal Mac, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pembukaan sempadan antarabangsa Malaysia sebagai sebahagian daripada peralihan ke fasa endemik.

Pengumuman itu disambut baik pemain industri pelancongan di mana mereka menjangka kehadiran pelancong akan mempercepatkan proses pemulihan industri itu sekali gus dapat menyumbang pertumbuhan ekonomi yang lebih pantas terutamanya pada separuh kedua 2022.

Penutupan sempadan negara dilaksanakan selepas perintah kawalan pergerakan (PKP) berkuat kuasa pada Mac 2020 sebagai langkah mengekang penularan Covid-19 di Malaysia.

Sementara itu, pelancong dari Palestin, Ahmad, meluahkan rasa syukur apabila beliau akhirnya dapat melawat Malaysia kembali setelah lama tidak dapat mengunjungi negara ini.

“Saya rindu sangat dan sudah lama tak datang sini. Kini saya boleh datang melawat kawan saya di Malaysia.

“Walaupun dulu boleh masuk (ke Malaysia), tetapi terlalu banyak prosedur perlu dilalui,” katanya.

Tinjauan lanjut MalaysiaNow di KLIA juga turut mendapati antara pengunjung lain yang tiba pada hari pertama penerbangan antarabangsa dibuka semula adalah dari Jerman dan Lubnan.

Selain melancong, ada juga yang masuk ke dalam negara bagi urusan perniagaan.

“Saya sangat teruja untuk kembali ke Kuala Lumpur. Dalam lawatan kali ini saya berhasrat untuk berkunjung ke semua lokasi menarik di Malaysia,” kata Mustafa dari Lubnan yang turut merancang untuk bercuti di Malaysia selama 40 hari.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.