- Iklan -
Berita

Syarikat di sebalik pelaburan gaharu di Thailand tukar nama

Asia Plantation Capital Bhd menukar namanya kepada Agarwood Originals Malaysia Bhd pada Disember tahun lalu.

Azzman Abdul Jamal
3 minit bacaan
Kongsi
Dokumen Asia Plantation Capital yang mengiklankan skim pelaburan gaharu di Sakon Nakhon, Thailand.
Dokumen Asia Plantation Capital yang mengiklankan skim pelaburan gaharu di Sakon Nakhon, Thailand.

Syarikat yang terlibat dalam skim pelaburan tanaman pokok gaharu di Thailand, Asia Plantation Capital Berhad (APC) menukar namanya kepada Agarwood Originals Malaysia Bhd, MalaysiaNow kini boleh mendedahkan.

Berdasarkan dokumen Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), APC mengubah namanya kepada Agarwood Originals Malaysia Berhad pada 23 Disember 2021 sejak ia diperbadankan pada November 2011.

Menurut dokumen tersebut, syarikat itu mendaftarkan alamatnya di Bangsar South, Kuala Lumpur dengan alamat perniagaan didaftarkan di Masai, Johor.

Selain itu, maklumat lanjut yang turut diperolehi MalaysiaNow ialah syarikat itu sebelum ini menjual skim pelaburan Agarwood di bawah sebuah syarikat dikenali Asia Plantation Singapore (APS), namun sejak di disenarai hitam oleh Bursa Malaysia pada 2013, skim pelaburan itu diambil alih oleh Forestry First Sdn Bhd, cabang pemasaran APC yang memiliki senarai pengarah yang sama.

Pada 3 Mac, MalaysiaNow melaporkan seramai 180 individu mengalami kerugian RM22.6 juta apabila pelaburan bagi projek penanaman pokok gaharu yang dilaksanakan APC di Sakon Nakhon, Thailand, tidak menjadi.

Menerusi beberapa siri temu bual bersama pelabur yang terlibat, mereka mendedahkan pelaburan itu menjanjikan pulangan SD$400 bagi setiap tola minyak gaharu dalam tempoh tujuh hingga sembilan tahun.

Menerusi perjanjian itu juga, pelabur dijanjikan pulangan tidak kira apa situasi yang bakal berlaku dan hanya perlu menunggu tempoh matang sebelum hasil dapat dituai.

Malah, menerusi pamplet yang dikongsikan APC, mereka turut menyatakan semua tanaman itu akan dilindungi menerusi firma insurans Lloyd’s of London di United Kingdom.

Bagaimanapun, MalaysiaNow difahamkan baru-baru ini bahawa firma itu menafikan dakwaan APC dan menyatakan mereka tidak melakukan sebarang urusan niaga antara kedua-dua organisasi tersebut.

Dalam perkembangan lain, Asia Plantation Capital Pte Ltd (Singapura), menafikan dakwaan yang dibuat semua pelabur berhubung projek tanaman pokok gaharu di Thailand dan dakwaan mereka cuba mengelak daripada bertemu pelabur.

Malah, syarikat itu juga menafikan mereka mempunyai pangkalan operasi atau aset di Malaysia dan turut mempertikaikan dakwaan bahawa syarikat itu gagal menepati perjanjian urus niaga yang dibuat.

Terdahulu, syarikat itu menjelaskan mereka kini berdepan beberapa saman yang difailkan oleh klien dan mengarahkan peguam mereka memfailkan penangguhan prosiding semua tindakan mahkamah menurut klausa timbang tara dalam perjanjian jual beli bersama APC Singapura.

“Daripada merujuk kepada timbang tara di Singapura, klien mula mengambil tindakan mahkamah di Malaysia yang melanggar klausa timbang tara,” katanya kepada MalaysiaNow.

“Beberapa saman yang difailkan terhadap Asia Plantation Capital Singapura dibatalkan dan/atau dikekalkan menurut klausa timbang tara.

“Agak pelik apabila kami dituduh tidak mematuhi syarat di bawah perjanjian jual beli apabila baru-baru ini terdapat usul penggulungan difailkan di mahkamah Malaysia menyebabkan APC Singapura ditutup meskipun tidak mempunyai pangkalan operasi atau aset di Malaysia,” tambahnya.

Namun begitu, kenyataan ini dilihat bercanggah apabila MalaysiaNow meneliti beberapa dokumen dan paparan iklan syarikat tersebut dan ia jelas menyatakan bahawa APC memindahkan ibu pejabat serantaunya dari Singapura ke Kuala Lumpur pada 2016.

Malah, dokumen perjanjian urus niaga yang ditandatangani oleh pelabur dari Malaysia turut menunjukkan urus niaga tersebut dilakukan bersama APC Singapura sebelum dokumen itu diserahkan kepada APC Malaysia, menyebabkan pelabur perlu ke pejabat mereka di G Tower, Kuala Lumpur untuk lakukan sebarang urusan.

“Kami ingin memberi jaminan kepada semua klien meskipun perintah penggulungan diterima dari mahkamah Malaysia, APC Singapura masih belum ditutup.

“Kami melihat langkah penggulungan ini sebagai satu taktik untuk menghalang untuk mempertahankan diri daripada segala dakwaan tersebut,” katanya.

Menurut APC Singapura, syarikat itu juga sudah memfailkan permohonan untuk ketepikan perintah penggulungan bagi memboleh mereka menjawab semua dakwaan, namun permohonan itu ditentang secara teknikal oleh individu sama yang memohon perintah tersebut.

“Walau apa pun, peguam kami memfailkan permohonan kepada Mahkamah Rayuan terhadap keputusan tersebut dan perkara ini masih belum selesai.

“Kami juga mengarahkan peguam memfailkan permohonan baru untuk ketepikan perintah penggulungan di Malaysia dan kami jangka permohonan ini akan difailkan dalam masa terdekat,” jelasnya.

Tambahnya, disebabkan perkara ini masih berlangsung di mahkamah, syarikat itu tidak dapat berkomunikasi secara langsung dengan klien yang terlibat memandangkan mereka kini diwakili peguam.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.