Seawal 5 pagi, dan matahari pun belum bersinar di Bintulu, Martina Anak Wong sudah berada di atas jalan raya, memandu trak pikapnya menuju Jalan Samalaju.
Di sanalah lokasi ladang penternakan lebahnya yang dinaungi pokok kelapa sawit.
Ladang milik Martina sebenarnya masih dikira kecil mengikut skala yang standard.
Ia menempatkan 250 hingga 300 haif atau rumah lebah.
Setiap bulan, ladangnya mampu menghasilkan kira-kira 60kg madu.
Setiap hari, Martina akan berjalan meninjau sekali gud mengumpul madu dari haif lebahnya yang jauh terletak di kawasan hutan itu.
Walaupun mengambil masa yang lama, namun hasil tuaian madu yang manis menjadikan usahanya sangat berbaloi.
Secara umumnya, kerja-kerja penternakan lebah di Sarawak masih sinonim dengan golongan lelaki, namun wanita ini berusaha untuk mengubah imej tersebut.
Selama empat hari seminggu, dia bekerja keras di ladangnya, menuai madu daripada haif lebah yang tidak mempunyai sengat itu.
Madu yang diusahakan Martina lebih dikenali di negara ini sebagai madu kelulut.
Setiap haif boleh menghasilkan kira-kira setengah kg madu setiap bulan.
“Saya belajar bagaimana hendak menjadi penternak lebah ketika pertama kali berpindah ke bandar Bintulu, saya bekerja dengan bapa saudara saya di ladang lebah miliknya,” katanya kepada MalaysiaNow.
Kini, Martina sudah mengusahakan ladangnya sendiri lebih dari sedekad.
Tidak seperti lebah madu spesies Barat atau Apis Mellifera, lebah tanpa sengat ini tidak memerlukan penukaran ratu lebah yang baru kerana setiap koloni mempunyai beberapa ratu lain yang bersedia untuk mengambil alih jika ratu sedia ada tidak lagi mampu bertelur.
Mengendalikan ladangnya sendiri adalah impiannya yang sudah menjadi kenyataan.
Namun, seperti perniagaan kecil lain di seluruh negara, perniagaan Martina turut terjejas teruk apabila pandemik Covid-19 melanda di mana aktiviti penternakannya terpaksa dihentikan.
Dari 60kg madu sebulan, pengeluaran ladangnya menurun secara drastik kerana Martina tidak boleh bekerja.
“Musim menuai madu betul-betul sewaktu perintah kawalan pergerakan (PKP) bermula,” katanya.
“Saya juga tidak dapat mengedarkan stok saya ke tempat lain, kerana sekatan perjalanan.”
Sebelum pandemik, Martina boleh menjana pendapatan antara RM6,000 hingga RM8,000 sebulan.
Namun sepanjang PKP, pendapatannya berkurangan sehingga dia tidak lagi dapat menjana hasil.
Bagaimanapun, kini keadaan mula berubah.
Ketika negara memulakan peralihan ke fasa endemik Covid-19 bulan depan, Martina bakal memulakan semula operasi penternakannya secara maksimum sekali lagi.
Hari ini, Martina kembali bekerja, merapikan haif lebahnya dan menuai madu yang cukup bagi memastikan pelanggannya gembira dan berpuas hati.
Mengenang kembali krisis Covid-19 dan bagaimana ia memberi kesan kepadanya sebagai penternak lebah, Martina berkata lebahnya banyak berjasa dalam hidupnya.
“Syukur ada lebah-lebah ini, kini ramai wanita mampu jana pendapatan sendiri tanpa perlu bergantung kepada orang lain,” katanya.
Ikuti kami di WhatsApp & Telegram
Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.