- Iklan -
Berita

Masjid Lembah Klang bersiap sedia untuk Ramadan lebih meriah

Walaupun sambutan Ramadan lebih baik berbanding tempoh PKP dilaksanakan, namun suasananya masih tidak sama seperti sebelum pandemik Covid-19 melanda negara.

Azzman Abdul Jamal
2 minit bacaan
Kongsi
Jemaah duduk sebelum menunaikan solat Jumaat di Masjid Sultan Abdul Samad KLIA tanpa penjarakan sosial selari fasa peralihan ke endemik yang rasmi bermula 1 April.
Jemaah duduk sebelum menunaikan solat Jumaat di Masjid Sultan Abdul Samad KLIA tanpa penjarakan sosial selari fasa peralihan ke endemik yang rasmi bermula 1 April.

Masjid-masjid di Lembah Klang bersiap sedia untuk menyambut Ramadan tahun ini yang dijangka lebih meriah berbanding dua tahun lalu akibat sekatan disebabkan pandemik Covid-19.

Ditambah pula, mereka kini dibenarkan untuk menganjurkan lebih banyak program mengimarahkan masjid sempena pelaksanaan fasa peralihan kepada endemik bermula 1 April.

Tinjauan MalaysiaNow di beberapa masjid sekitar Lembah Klang, mendapati mereka kini sedang giat membuat persiapan bagi menyambut ketibaan Ramadan seperti waktu sebelum penularan Covid-19 pada awal 2020.

Setiausaha Masjid Bandar Seri Putra, Azli Ariffin berkata, pihaknya sudah membuat persiapan sewajarnya dan sangat teruja untuk menerima kunjungan orang ramai bagi mengimarahkan masjid pada bulan puasa kali ini.

Malah, kebenaran untuk menunaikan solat tanpa penjarakan fizikal dijangka akan menyumbang kepada penambahan jemaah masjid bagi solat sunat tarawih.

“Untuk Ramadan kali ini, kita akan buat seperti Ramadan dulu (pra Covid-19) tak banyak beza sangat,” katanya kepada MalaysiaNow.

“Kita juga berbesar hati untuk adakah aktiviti berbuka puasa bersama jemaah. Dulu tak boleh, sekarang sudah dibenarkan, jadi kami sudah lantik katerer dan persiapan sudahpun dibuat.”

Mengulas lanjut, Azli berkata, program yang bakal diadakan sepanjang Ramadan termasuk tadarus, Nuzul Al-Quran dan beberapa ceramah khas.

Ketika negara sedang melalui beberapa fasa sekatan pergerakan bermula Mac 2020 dan ditamatkan pada Oktober tahun lalu, aktiviti di masjid turut dihadkan, malah aktiviti berbuka puasa di masjid juga tidak dibenarkan.

Dalam tempoh itu, antara aktiviti yang dibenarkan ketika bulan Ramadan tahun lalu ialah solat tarawih yang dilakukan dengan penjarakan fizikal manakala pada tahun sebelumnya, umat Islam hanya menunaikan solat sunat itu di rumah masing-masing.

Namun begitu, Azli berkata, walaupun program sempena Ramadan kini dibenarkan di masjid, kemeriahan itu dijangka hanya terhad bagi golongan dewasa dan remaja.

“Penularan Covid-19 masih belum berakhir, jadi mungkin juga jemaah masih berasa bimbang untuk hadir ke masjid bersama anak-anak mereka yang masih kecil.

“Justeru, Ramadan memang akan meriah jika dibandingkan dengan tempoh PKP, tetapi ia mungkin tidak semeriah sebelum waktu penularan Covid-19,” katanya.

Mengulas mengenai kehadiran jemaah masjid bagi solat Jumaat pada 1 April, Azli berkata, kehadiran jemaah di masjid itu meningkat secara mendadak, malah, jumlah kehadiran dianggarkan mencapai 80% kapasiti masjid.

“Kini tidak ada lagi kuota untuk menunaikan solat di masjid, justeru, tiada lagi alasan jemaah tidak hadir,” katanya dan menambah masjid itu mampu menampung kapasiti 3,500 jemaah.