- Iklan -
Berita

99% penduduk dunia hirup udara tidak sihat, kata WHO

Rakyat di negara berpendapatan rendah dan sederhana didapati paling banyak terdedah kepada udara tidak sihat.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Suasana udara berjerebu ketika orang ramai menggunakan jejantas di stesen kereta api New Delhi  pada November 2021. Gambar: AFP
Suasana udara berjerebu ketika orang ramai menggunakan jejantas di stesen kereta api New Delhi pada November 2021. Gambar: AFP

Kira-kira 99% penduduk dunia didapati menghirup udara yang tidak sihat melebihi had kualiti udara ditetapkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), menurut data terkini agensi PBB itu pada Isnin.

Lebih 6,000 bandar di 117 negara menjalankan pemantauan kualiti udara, namun penduduk di negara-negara terbabit masih terdedah dengan zarah halus dan nitrogen dioksida yang tidak sihat.

Rakyat di negara berpendapatan rendah dan sederhana didapati paling banyak terdedah kepada udara tidak sihat.

“Kebimbangan mengenai perkara itu menjadikan pentingnya untuk mempercepat peralihan kepada sistem tenaga yang lebih bersih dan sihat.

“Harga bahan api fosil yang tinggi, keselamatan tenaga dan keperluan mendesak untuk menangani cabaran kesihatan, pencemaran udara dan perubahan iklim, membuatkan dunia perlu bergerak lebih pantas ke arah mengurangkan kebergantungan kepada bahan api fosil,” kata ketua pengarah WHO Tedros Ghebreyesus.

Data baru itu dikeluarkan menjelang Hari Kesihatan Sedunia yang akan disambut pada 7 April, dengan tema “Our planet, our health”.

Kira-kira 2,000 lagi bandar dan penempatan manusia kini merekodkan data pemantauan tanah untuk zarah, PM10 dan/atau PM2.5, berbanding data sebelum ini, menurut WHO.

Kedua-dua bahan pencemar itu berpunca terutamanya daripada aktiviti manusia berkaitan pembakaran bahan api fosil.

Data itu menunjukkan peningkatan hampir enam kali ganda sejak pengumpulan data dibuat pada 2011.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.