Kalsom Ismail, balu bekas menteri sains, teknologi dan inovasi, Jamaluddin Jarjis, yang terkorban dalam nahas helikopter, telah memfailkan permohonan bagi meminda tuntutan samannya terhadap empat anak dan ibu mertuanya berhubung harta sepencarian kira-kira RM1 bilion.
Peguam syarie Sulaiman Abdullah yang mewakili Kalsom selaku plaintif berkata pihaknya akan meminda pernyataan tuntutan saman membabitkan beberapa aset antaranya hartanah.
“Permohonan plaintif (Kalsom) bagi mendapatkan kebenaran mahkamah untuk meminda tuntutan saman itu akan didengar 17 Mei ini,” katanya ketika ditemui pemberita selepas sebutan kes di hadapan pendaftar Mahkamah Tinggi Syariah Hadi Hamat.
Sementara itu, peguam syarie Nur Hidayah A. Bakar yang mewakili ibu Jamaludin, Aminah Abdullah, 88, selaku defendan kelima berkata pihak plaintif telah memfailkan permohonan itu pada 25 Mac lepas.
Menurut Nur Hidayah, pindaan itu membabitkan perkataan hartanah di Boston, Amerika Syarikat yang akan dibuang dalam pernyataan tuntutan tersebut.
“Selain itu, saham dalam syarikat Rantai Wawasan, isu sumbangan tidak langsung berkaitan penjagaan arwah (Jamaluddin) semasa sakit kaki dan isu berkaitan tanah di Selangor akan dimasukkan dalam pernyataan tuntutan yang dipinda itu,” katanya.
Kalsom, 66, memfailkan tuntutan harta sepencarian termasuk 20 hartanah di Malaysia, Amerika Syarikat, Makkah serta beberapa buah syarikat pada Oktober 2018, dengan menamakan anaknya, Ikwan Hafiz, Nur Anis, Nurul Alyaa, Noor Adilla, dan ibu mertuanya Aminah sebagai defendan.
Pada 4 April 2015, Jamaluddin, yang juga bekas duta Malaysia ke Amerika Syarikat, ketika itu berusia 64 tahun, bersama lima lagi maut apabila helikopter yang mereka naiki dari Pekan, Pahang ke Kuala Lumpur terhempas di kawasan kebun getah di Kampung Sungai Pening, Semenyih pada 4.55 petang.
Turut maut juruterbangnya Clifford William Fournier, ketua setiausaha sulit kepada bekas perdana menteri Najib Razak, Azlin Alias, ahli perniagaan Tan Huat Seang, pegawai peribadi Jamaluddin, Razakan Seran serta seorang wanita yang dikenali sebagai Aidana Baizieva.