- Iklan -
Berita

Peniaga pasar Ramadan Kuching harap dapat bangkit semula selepas terjejas pandemik

Mereka gembira bertemu rakan dan dapat kembali berniaga di pasar Ramadan selepas dua tahun tidak beroperasi.

Nur Shazreena Ali
2 minit bacaan
Kongsi
Orang ramai berkunjung ke pasar Ramadan Stutong, Kuching bagi membeli juadah berbuka puasa.
Orang ramai berkunjung ke pasar Ramadan Stutong, Kuching bagi membeli juadah berbuka puasa.

Di pasar Ramadan Stutong, Kuching, pelanggan beratur menunggu pesanan juadah berbuka puasa mereka di gerai murtabak itu, aroma bau roti garing dan inti dagingnya memenuhi suasana.

Di gerai itulah, Yusri Ramli memecah keringatnya mencanai dan menggoreng murtabak sambil dibantu isteri yang mengambil pesanan pelanggan.

Sudah 14 tahun Yusri mengusahakan gerai murtabaknya dan dia tidak pernah terlepas untuk berniaga setiap kali bulan Ramadan, melainkan dua tahun lalu di mana sekatan Covid-19 menyebabkan pasar Ramadan tidak boleh beroperasi.

Dua tahun pandemik menjejaskan mata pencarian Yusri kerana perniagaan di pasar Ramadan memberikan pendapatan lumayan bagi peniaga gerai sepertinya.

Orang ramai memang sentiasa mencari juadah berbuka puasa di pasar Ramadan itu.

Oleh kerana tidak lagi dapat berniaga ketika pandemik melanda, dia cuba memulakan perniagaan secara dalam talian bagi meneruskan usaha mendapatkan rezeki ekoran tidak lagi dapat beroperasi secara fizikal.

Yusri bermula dengan mengambil pesanan daripada aplikasi WhatsApp dan Facebook beberapa minggu sebelum bulan puasa supaya semua pesanan dapat dihantar kepada pelanggan.

“Kami mahu mula awal supaya pelanggan dapat cari kami,” kata lelaki berusia 42 tahun itu kepada MalaysiaNow.

Biasanya, jika tidak berniaga pada bulan puasa, Yusri menjual mee kolok dan roti canai.

Murtabak ayam dan dagingnya hanya diusahakan pada bulan Ramadan.

“Bila pasar Ramadan dilarang beroperasi bagi membendung wabak Covid, pendapatan saya secara automatik berkurang, jadi sukar sedikit untuk beli barangan keperluan,” katanya.

“Saya ambil keputusan jual makanan di gerai depan rumah, di Kampung Tabuan Melayu.”

Peniaga murtabak Yusri Ramli di pasar Ramadan Stutong.

Ketika negara mula beralih ke fasa endemik Covid-19, Yusri sangat berharap nasibnya berubah sekali gus dapat kembali bangkit menjana pendapatan daripada perniagaannya.

Di Sarawak, 69 gerai dibenarkan untuk beroperasi di dua pasar Ramadan di Satok dan pasar raya Mydin Samariang.

Sementara di Stutong, di mana Yusri menjual murtabaknya, 68 gerai dibenarkan untuk beroperasi.

Yusri menyatakan kelegaannya kerana dapat berniaga di pasar Ramadan kali ini dan mengatakan mahu kerja keras untuk dapatkan kembali pendapatan yang hilang sejak dua tahun lalu.

“Saya harap dengan pembukaan semula pasar Ramadan, kami dapat bangkit semula dan jana lebih banyak pendapatan bagi menampung perbelanjaan harian,” katanya.

Tidak jauh dari gerai Yusri, Sadekin Elli yang menjual ais kacang dan pelbagai jenis minuman ais kisar lain kelihatan gembira dan bertenaga menarik perhatian pelanggan yang lalu lalang.

Seperti Yusri, Sadekin juga turut berniaga di pasar Ramadan sejak bertahun lalu sehingga pandemik Covid-19 melanda.

Manakala, peniaga Mohamad Putra Usop pula berkata dia lega kerana dapat bekerja semula di pasar Ramadan selepas dua tahun tidak dapat menjalankan perniagaannya.

Dia gembira kerana dapat bertemu semula dengan rakan-rakan yang tidak dapat ditemui sejak perintah kawalan pergerakan dilaksanakan.

“Mula-mula nampak suram sebab cuaca tak elok, namun sekarang orang ramai dah mula penuh di pasar,” katanya.

“Seronok dapat jumpa kawan-kawan lagi sekali dan bertanya khabar mereka,” tambahnya.

“Kami di sini semuanya satu geng.”

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.