- Iklan -
Berita

Tiada kes varian Omicron XE di Malaysia setakat ini, kata Khairy

KKM mengikuti perkembangan dan mengkaji ciri-ciri varian baru yang dilaporkan di beberapa negara bagi mengenal pasti tahap keseriusannya kepada pesakit.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin di Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh hari ini. Gambar: Bernama
Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin di Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh hari ini. Gambar: Bernama

Malaysia tidak mencatatkan jangkitan kes mutasi baru varian Omicron dinamakan XE, yang lebih mudah berjangkit berbanding mana-mana varian Covid-19 setakat ini, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata kementeriannya sedang mengikuti perkembangan dan mengkaji ciri-ciri varian itu yang dilaporkan di negara lain termasuk Thailand bagi mengenal pasti tahap kebolehjangkitan dan keseriusannya kepada pesakit.

“Varian Omicron contohnya lagi tinggi (kesnya) daripada Delta sebab itu kes meningkat tetapi keseriusannya lebih sederhana daripada Delta maka unit rawatan rapi juga tidak penuh seperti dulu.

“Jadi varian baru ini kita kena tengok daripada negara lain sama ada kebolehjangkitan tinggi atau keseriusan yang tinggi barulah kita ambil langkah-langkah sepatutnya,” katanya pada sidang media selepas melawat Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di Ipoh hari ini.

Terdahulu, beliau melawat bangunan warisan berusia 138 tahun dan wad long Covid dan rehabilitasi yang pertama di Perak di Hospital Batu Gajah sebelum melakukan lawatan ke Makmal Kesihatan Awam Ipoh dan HRPB.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dilaporkan memberi amaran mengenai satu mutasi baru varian Omicron dinamakan XE, yang lebih mudah berjangkit berbanding mana-mana varian Covid-19.

WHO menerusi laporan terbarunya berkata varian berkenaan adalah gabungan mutasi hibrid dua versi terdahulu bagi Omicron iaitu BA.1 dan BA.2.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.