- Iklan -
Berita

Bersatu beri mandat Muhyiddin bincang strategi hadapi PRU15 dengan parti lain

Keputusan itu dibuat dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu dipengerusikan presiden parti itu semalam.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin.
Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin.

Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu memberi mandat penuh kepada presidennya, Muhyiddin Yassin untuk membincangkan strategi parti bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang bersama parti politik lain.

Setiausaha Agung Bersatu Hamzah Zainudin berkata keputusan itu dibuat dalam mesyuarat yang dipengerusikan Muhyiddin pada 5 April.

“MPT Bersatu membincangkan hal-hal berkenaan pengurusan parti, perkembangan politik tanah air dan keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor 2022 yang diadakan pada 12 Mac lalu.

“Sehubungan itu, MPT Bersatu memutuskan untuk memberikan mandat penuh kepada biro politik yang dipengerusikan oleh presiden untuk membincangkan strategi parti bagi menghadapi PRU yang akan datang bersama parti-parti politik lain,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Muhyiddin sebelum ini mengakui bertemu dengan beberapa pimpinan parti politik dalam kerajaan dan pembangkang bagi merintis hubungan kerjasama dalam PRU15 bagi menghalang kemaraan kleptokrat kembali berkuasa.

Menurutnya, inisiatif tersebut adalah langkah awal untuk mendapatkan pandangan mereka dalam kerjasama tersebut.

“Saya telah mengambil inisiatif untuk bertemu dengan pimpinan utama parti-parti politik dalam kerajaan dan pembangkang bagi merintis hubungan kerjasama dalam PRU15.

“Mereka sependapat untuk sebolehnya mengelakkan pertembungan banyak penjuru dalam PRU15 bagi menghalang golongan kleptokrat dalam BN kembali berkuasa,” kata Muhyiddin.

Antara pemimpin utama yang telah ditemui Muhyiddin termasuk Pengerusi Pejuang Dr Mahathir Mohamad dan Presiden PKR Anwar Ibrahim.