- Iklan -
Berita

Debat Najib-Anwar gagal timbulkan keterujaan sedekad lalu

Penganalisis bukan sahaja mempersoalkan kaitan topik itu dengan rakyat bahkan kerelevenan dua musuh politik yang dilihat 'mesra' itu.

Ahmad Mustakim Zulkifli
4 minit bacaan
Kongsi
Najib Razak dan Anwar Ibrahim dalam sebuah pertemuan pada 2017 ketika Najib melawat presiden PKR itu di hospital. Mereka berdua sudah tidak lagi dipandang sebagai seteru utama politik selepas surat Najib diserahkan kepada Istana Negara pada 2020 menyatakan sokongannya kepada Anwar sebagai perdana menteri. Gambar: Twitter
Najib Razak dan Anwar Ibrahim dalam sebuah pertemuan pada 2017 ketika Najib melawat presiden PKR itu di hospital. Mereka berdua sudah tidak lagi dipandang sebagai seteru utama politik selepas surat Najib diserahkan kepada Istana Negara pada 2020 menyatakan sokongannya kepada Anwar sebagai perdana menteri. Gambar: Twitter

Sejak bekas perdana menteri Najib Razak dan Presiden PKR Anwar Ibrahim mengumumkan kesediaan untuk berdebat, antara jenaka yang beredar mengatakan dua pemimpin politik yang pernah disabitkan kesalahan jenayah bakal bercakap mengenai isu negara.

Anwar menjalani dua hukuman penjara bagi kesalahan rasuah dan liwat.

Najib pula kini sedang menunggu rayuan terakhirnya di mahkamah selepas disabitkan kesalahan penyelewengan wang jutaan ringgit.

Baru-baru ini, kedua-dua pemimpin itu bertelagah di media sosial berhubung Sapura Energy Bhd, sebuah syarikat perkhidmatan minyak dan gas yang bermasalah.

Pertembungan itu timbul selepas Rafizi Ramli dari PKR mengkritik Najib kerana mencadangkan kerajaan membantu Sapura, di mana baru-baru ini syarikat itu mengumumkan kerugian RM8.9 bilion, termasuk kerugian dalam bentuk pengambilalihan syarikat tersebut oleh syarikat petroleum nasional, Petronas.

Perdebatan antara ahli politik menjadi sebahagian daripada politik Malaysia terutamanya sejak perdebatan harga bahan api pada 2008 antara Anwar dan menteri komunikasi dan multimedia ketika itu, Ahmad Shabery Cheek.

Ia merupakan kali pertama debat pemimpin pembangkang dan kerajaan disiarkan secara langsung di televisyen nasional di mana ia dilihat sebagai sebahagian daripada liberalisasi politik oleh perdana menteri ketika itu, Abdullah Ahmad Badawi.

Debat sedemikian memberikan publisiti yang besar kepada pembangkang pada waktu itu.

Ekoran itu, ahli politik sering berharap mendapat perhatian dalam acara sedemikian, di mana perbahasannya lebih hangat dan tidak terikat seperti perbahasan yang mendatar dan tertakluk dengan peraturan ketat Parlimen.

Pemimpin DAP Lim Guan Eng sudah dua kali berdebat dengan seteru utamanya dari MCA, beliau berdebat kali pertama dengan presidennya ketika itu, Chua Soi Lek pada 2012.

Debat beliau dengan Presiden MCA Wee Ka Siong diadakan pada tahun lepas berhubung dasar kabotaj.

Pada 2012, Rafizi Ramli dari PKR berdebat mengenai isu pinjaman pendidikan PTPTN dengan Khairy Jamaluddin yang merupakan ketua Pemuda Umno ketika itu.

Beberapa perdebatan yang diadakan itu menyebabkan ramai yang menggesa supaya Najib yang mengetuai kerajaan Barisan Nasional (BN) ketika itu bersemuka dengan Anwar yang merupakan ketua pembangkang.

Bagaimanapun, Najib menolak cabaran debat tersebut, mengatakan perdebatan bukanlah sebahagian daripada budaya politik Malaysia.

‘Dua pemimpin yang sudah melepasi zaman mereka’

Hari ini, kemungkinan debat antara kedua-dua pemimpin itu tidak lagi mencetuskan keterujaan yang sama dalam kalangan rakyat Malaysia seperti apa yang pernah berlaku sepuluh tahun lalu.

Pemerhati politik turut mempersoalkan kerelevanan debat antara mereka, memandangkan hala tuju politik dua pemimpin itu telah menyebabkan mereka semakin jauh dari kerusi kuasa.

Najib disabitkan kesalahan dan dijatuhkan hukuman dalam kes penyelewengan danan RM42 juta SRC International dengan memasukkannya ke dalam akaun peribadi.

Anwar pula dilihat semakin hilang pengaruh dalam PKR dan Pakatan Harapan (PH) berikutan prestasi buruk partinya yang kalah tiga kali berturut-turut pada pilihan raya negeri (PRN) di Melaka, Sarawak dan Johor.

Sejak tumbang dari tampuk pentadbiran negara pada 2018, Najib mencabar veteran DAP Lim Kit Siang dan pemimpin Bersatu Muhyiddin Yassin untuk berdebat dengannya.

Namun pada masa yang sama beliau mengenepikan cabaran debat baru-baru ini dari Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Mohamed Azmin Ali bagi membahaskan isu Felda yang ditimbulkan Najib.

Debat antara Najib dan Anwar kali ini lebih dilihat sebagai acara perbahasan antara dua musuh yang dilihat mesra, bukan lagi sebagai musuh politik seperti sedekad lalu.

Pada Oktober 2020, dalam surat Najib yang ditulis bersama Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi kepada istana, mereka berdua menyatakan sokongan terhadap Anwar sebagai perdana menteri.

Isu yang mencetuskan kepada perdebatan antara pemimpin politik itu adalah masalah kewangan yang dihadapi syarikat minyak dan gas tempatan Sapura Energy.

Ia menjadi punca pertikaian di media sosial antara Najib dan Rafizi.

Seorang bekas pembantu Najib mengalu-alukan debat tersebut, mangatakan ia bagus dalam membentuk demokrasi yang matang.

“Namun kadang-kadang kita tidak dapat memilih pendebat, yang merupakan ahli politik veteran yang masih berpengaruh,” kata Oh Ei Sun yang merupakan felo kanan Singapore Institute of International Affairs.

Sementara itu, penganalisis Hisommudin Bakar berkata, dalam budaya politik Malaysia, debat tidak berada dalam satu piawaian yang dinilai oleh rakyat mahupun pengundi secara jelas.

“Tiada kayu ukur menjadikan debat sebagai penyumbang kepada sokongan kepada sesuatu parti atau tokoh berkenaan,” kata Hisommuddin, yang mengetuai badan pengkaji pilihan raya, Ilham Centre.

Merujuk kepada perdebatan antara Lim dan Wee tahun lepas, beliau berkata tiada kesan nyata daripada acara itu pada skala nasional.

“Apa yang dapat difahami adalah debat berkenaan membawa persaingan antara dua tokoh berkenaan ke pentas debat,” katanya.

Personaliti jadi lebih utama dari isu

Hisommudin berkata dalam perbahasan seperti itu masih dilihat hanya sekadar pertembungan personaliti mengatasi isu yang dibincangkan.

“Melihat kepada kepentingan debat dan ‘timing’ perkara ini dirujuk, saya melihat isu ini lebih kepada menggunakan isu debat dan cabar mencabar bagi menaikkan imej pihak tertentu,” katanya.

Bagaimanapun, seorang pemerhati politik, Azizi Safar berkata, tujuan debat bukan untuk cari siapa lebih pandai berdebat namun ia boleh merungkai banyak persoalan dan mencetus penyelesaian kepada banyak masalah rakyat.

“Debat Wee Ka Siong dan Lim Guan Eng mengenai isu kabotaj dan projek kabel dasar laut, akhirnya terbukti dakwaan Guan Eng tidak benar dan tersasar,” katanya.

Selain debat yang hanya berlegar mengenai personaliti, Hisommudin turut mempersoalkan topik perdebatan Najib dan Anwar.

Beliau berkata topik seperti masalah Sapura Energy sepatutnya tidak sampai ke tahap debat nasional.

Ini kerana banyak lagi isu yang wajar diperdebatkan untuk kepentingan rakyat terbanyak.

“Saya melihat dari aspek ‘timing’ juga tidak penting. Saat umat Islam berpuasa, tidak semena-mena ada pihak yang mencabar untuk berdebat,” katanya.

Azizi dalam pada itu bersetuju bahawa debat Najib-Anwar yang akan datang adalah antara dua ahli politik yang sudah melepasi zaman mereka.

“Bagi saya, Najib hendak tunjuk dia masih hebat, begitu juga Anwar. Dua-dua pun tahu mereka tak ada harapan boleh jadi perdana menteri,” katanya.

Dalam pada itu, Hisommudin berkata, menggunakan Najib sebagai “punching bag” merupakan jalan mudah untuk meraih populariti tatkala PKR berdepan musim pemilihan parti.

Katanya, rakyat sedang bergelut untuk meneruskan kelangsungan hidup, selain berdepan cabaran kenaikan harga barang dan persiapan menjelang hari raya yang lebih diutamakan mereka.

“Perdebatan ini lebih menjurus kepada ahli politik untuk memposisikan kedudukan mereka di dalam radar politik nasional.

“Tidak lebih dari itu,” katanya.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.