- Iklan -
Berita

Kondominium mewah terabai serlahkan kesan pandemik di Lembah Silikon Malaysia

Impak buruk pandemik Covid-19 jelas dilihat dalam pasaran hartanah di Cyberjaya.

MalaysiaNow
4 minit bacaan
Kongsi
Banyak unit kondominium mewah The Place di Cyberjaya kini tidak berpenghuni selepas pandemik Covid-19 melanda negara.
Banyak unit kondominium mewah The Place di Cyberjaya kini tidak berpenghuni selepas pandemik Covid-19 melanda negara.

Walaupun Cyberjaya menerima julukan sebagai bandar IT Malaysia, namun kawasan hartanah di kawasan itu dilihat mulai bergelut untuk terus bertahan selepas negara dilanda pandemik Covid-19.

Beberapa buah kondominium yang pernah menjadi ikon dan kebanggaan penduduknya kini semakin sepi dan terbiar dengan banyak fasiliti tidak berfungsi dan bilangan penyewa yang semakin berkurangan, menyerlahkan kegagalan objektif bandar itu untuk menjadi Lembah Silikon Malaysia.

Antaranya, kondominium The Place terletak bersebelahan sebuah pusat pengajian tinggi swasta yang tersohor, Universiti Teknologi Kreatif Limkokwing (LUCT).

Selain The Place, The Domain@NeoCyber, sebuah rumah pangsa yang siap dibina pada 2009 juga kini turut berdepan masalah.

Kehadiran pelajar dalam dan luar negara di beberapa pusat pengajian swasta di Cyberjaya memenuhi unit-unit kondominium ini sebagai pilihan utama kediaman mereka.

Tiga tahun lalu, The Place dan The Domain sering kali disebut-sebut sebagai unit kediaman “kayangan” dalam kalangan penduduk setempat mengambil kira bayaran sewa yang mencecah ribuan ringgit dan fasiliti yang disediakan di kondominium tersebut adalah mewah dan eksklusif.

Malah, terdapat banyak unit-unit komersial yang disewa menawarkan perkhidmatan yang jarang dijumpai di kondominium lain.

Ini termasuk gimnasium, butik pakaian, bar dan kafe mewah.

Namun, tinjauan MalaysiaNow mendapati kurang daripada 10 unit komersial yang masih menjalankan perniagaan.

Unit-unit kediaman mewah di Cyberjaya ini pada awalnya menyasarkan kumpulan pekerja pengetahuan (knowledge worker).

Pengabaian bangunan jelas kelihatan di The Place di mana kemudahan seperti kolam renang tidak lagi digunakan.

Mereka ini termasuklah golongan profesional seperti jurutera, doktor pakar, pegawai bank, akauntan, peguam dan saintis.

Cyberjaya merupakan bandar baru yang dibina bersama-sama dengan Putrajaya di mana ia adalah sebahagian daripada projek Lembah Silikon Malaysia cetusan idea dari bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad.

Bandar yang dirasmikan pada 1997 itu merupakan tulang belakang Koridor Raya Multimedia (MSC).

Masalah dihadapi Cyberjaya sudah bermula sebelum pandemik Covid-19 melanda negara.

Bandar itu dilihat tidak banyak berubah seperti apa yang dibayangkan ketika awal penubuhannya.

Banyak bangunan dengan reka bentuk futuristik di bandar itu tidak menarik perhatian dalam pasaran hartanah yang terus berkembang.

Namun pembukaan pelbagai kampus universiti menyediakan talian hayat untuk pemilik rumah di mana mereka boleh menyewakan unit mereka kepada pelajar antarabangsa pada kadar yang berpatutan.

Talian hayat itu bagaimanapun terputus selepas pandemik melanda.

Seorang penganalisis hartanah, Adzman Shah Mohd Ariffin berkata, Cyberjaya sepatutnya menjadi satu bandar organik di mana golongan pekerja pengetahuan datang bekerja dan menetap di situ seiring dengan kewujudan perniagaan dan perkhidmatan besar yang disediakan di Cyberjaya seperti cawangan bank dari luar negara, servis pangkalan data dan pusat khidmat pelanggan.

“Perkembangan Cyberjaya sepatutnya organik, bila orang ramai bekerja di situ dan menetap di situ. Mereka inilah yang sepatutnya menjadi sebahagian penduduk Cyberjaya,” kata Adzman kepada MalaysiaNow.

”Tetapi, Cyberjaya tersasar dan menjadi satu perkampungan pelajar.”

Adzman menambah kehadiran penyewa dalam kalangan pelajar yang ramai menyebabkan golongan bekerja memilih lokasi lain untuk membeli dan menyewa kediaman.

Katanya, ini menyebabkan perkembangan Cyberjaya berubah menjadi satu pusat pelaburan untuk kediaman-kediaman disewa kepada pelajar kolej dan universiti berdekatan.

Kesannya, kehadiran pelajar yang menyewa walaupun dalam jumlah yang ramai tetapi dalam tempoh singkat, tidak membantu dalam menaik taraf dan nilai hartanah di situ.

Hal ini, katanya, pembeli menyasarkan unit-unit mereka hanya untuk pelajar dan apabila perniagaan dalam sektor pendidikan mulai merudum sejak dua tahun lalu akibat pandemik Covid-19, ia memberikan impak yang sangat besar kepada unit-unit kediaman tersebut.

“Terlalu banyak lambakan unit-unit kediaman. Seperti di NeoCyber, kebanyakan unit semua dah terjual, tapi tiada penyewa. Bila tiada penyewa, pemilik juga tidak tinggal di situ, maka tiadalah wang masuk untuk tujuan penyelenggaraan. Sebab tu bila kita pergi ke sana,boleh tengok tempat-tempat itu kotor, rosak dan terbiar.”

Antaranya, dua lot kedai serbaneka, satu kedai cetakan dan alat tulis serta satu restoran yang dikatakan baru dibuka tahun ini.

Ejen hartanah yang bercakap dengan MalaysiaNow berkata sewa di The Place telah merosot serendah RM1,200 sebulan, dengan ramai pemilik menurunkan sewa sehingga RM900 atau malah RM800 sejak wabak Covid-19 melanda negara.

Penutupan sempadan akibat pandemik menyebabkan ramai pelajar antarabangsa yang merangkumi 50% penyewa bengunan itu membatalkan kontrak sewa dan pulang ke negara masing-masing.

Menurut satu sumber, ramai pelajar berhenti belajar di LUCT kerana universiti itu tidak lagi menawarkan beberapa program sarjana muda.

Dia memberitahu, sekitar tiga hingga lima tahun lalu, tiada unit kosong di kondominium tersebut menjadikan ianya satu hartanah yang paling berbaloi untuk dibeli bagi pelaburan jangka panjang.

Namun, kini lobi utamanya sunyi, terbiar dan tiada pengunjung menunjukkan tiada lagi kemeriahan dan unsur kemegahan di situ.

Di ruang di bawah, banyak unit-unit parkir kosong kelihatan tidak dihuni kenderaan.

Sementara itu, pemandangan dari unit kediaman di tingkat 17 mendapati ruang fasiliti yang sangat daif dengan kolam renang tidak lagi digunakan dan terbiar.

Selain beberapa keping karpet yang sudah tercabut dibiar berselerakkan di atas lantai tersebut, satu keadaan yang mencemarkan pemandangan.

“Ada orang sini datang sewa sebab dulu sini cantik, bila tengok macam ni, mereka keluar pergi tempat lain,” kata seorang pekerja penyenggaraan kepada MalaysiaNow.

MalaysiaNow sedang berusaha menghubungi pengurusan bagi mendapatkan penjelasan mengenai situasi tersebut.

Meskipun begitu, unit-unit rumah di kondominium ini masih mendapat sambutan dalam kalangan orang bekerja terutama sekali yang masih bujang dan belum berkeluarga.

Ini memandangkan unit kediaman yang ditawarkan oleh The Place terdiri daripada unit jenis studio dan duplex yang berukuran kurang daripada 1000 kaki persegi, satu ruang yang inklusif untuk mereka yang gemar kepada konsep minimalis.

Seorang penyewa yang ditemui di ruangan parkir, mahu dikenali sebagai Ahmed berkata, dia sudah menetap di situ sejak tahun 2018.

Selepas tamat pengajian pada tahun sama, dia sambung menyewa dan mendapat kerja di kawasan berdekatan.

Dia sangat maklum dengan perubahan semasa kondominium tersebut tetapi mengambil keputusan untuk kekal di situ memandangkan ia satu-satunya unit kondominium yang paling mudah untuk akses ke lebuh raya dan memberikan suasana tenang.

“Jauh daripada tempat orang ramai, di sini tak bising. Sejak bekerja dari rumah akibat pandemik, saya bermesyuarat dalam talian hampir setiap hari. Tapi tak risau, tak bising, jauh dengan jalan utama.

“Pemandangan juga cantik, hijau. Kurang stress,“ kata pemuda dari negara Timur Tengah itu.

Mengulas lanjut, Adzman yang berpengalaman lebih 30 tahun dalam kajian dan analisis hartanah di Malaysia berkata, beliau pernah menjana hampir RM2000 sebulan hasil sewa satu unit kondominium di NeoCyber.

“Tapi semua tu tinggal kenangan. Sekarang terlalu banyak lambakan unit-unit kediaman tak disewa. Jadi oversupply pula (lebih bekalan).

“Memang teruk, dan kes ini terlalu disenyapkan. Cyberjaya terlalu menunjukkan sisi gaya hidup dari luar, nampak mewah dan meriah, tetapi bermasalah.

“Kasihan, satu smart city yang tidak smart,” katanya.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.