- Iklan -
Berita

Indonesia penjarakan jurucakap FPI atas tuduhan militan

Munarman didapati bersalah membantu pelaku keganasan dengan menyembunyikan maklumat mengenainya.

Reuters
2 minit bacaan
Kongsi
Penyokong Habib Rizieq, ketua Front Pembela Islam berhimpun menunjukkan sokongan kepada beliau di Masjid Baiturrahman, Aceh pada Disember 2020. Gambar: AFP
Penyokong Habib Rizieq, ketua Front Pembela Islam berhimpun menunjukkan sokongan kepada beliau di Masjid Baiturrahman, Aceh pada Disember 2020. Gambar: AFP

Mahkamah Indonesia semalam menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun ke atas seorang pemimpin kumpulan radikal Islam yang telah diharamkan kerana “secara sengaja membantu pelaku keganasan.”

Kes terhadap bekas setiausaha agung dan jurucakap Front Pembela Islam (FPI), Munarman, susulan hukuman penjara yang dikenakan ke atas ketua umum FPI, Rizieq Shihab pada tahun lalu kerana menyebarkan maklumat palsu mengenai Covid-19.

Pengikut pertubuhan kontroversi itu mendakwa, kes melibatkan Munarman tersebut bermotif politik.

Pada 2020, FPI diharamkan kerajaan Presiden Joko Widodo.

Tindakan itu telah menyebabkan gerakan pertubuhan yang mendapat pengaruh besar dalam politik di negara majoriti Islam itu menjadi lumpuh.

“(Kami) dengan ini mengisytiharkan defendan sudah dibuktikan mengikut undang-undang, bersalah melakukan perbuatan keganasan,” kata hakim yang mengetuai mahkamah di Jakarta pada perbicaraan yang disiarkan saluran berita Kompas TV.

Menurut seorang lagi hakim, Munarman didapati bersubahat dengan “pelaku keganasan”, dengan “menyembunyikan maklumat mengenai tindakan ganas”.

FPI, mendapat reputasi dan pengaruhnya kerana sering menyerbu bar dan rumah pelacuran serta menentang agama minoriti secara ganas.

Bagaimanapun, ia menerima sokongan dalam kalangan rakyat Indonesia yang berpendapatan rendah berikutan kerja amalnya yang dijalankannya seperti mengagihkan bantuan semasa bencana alam.

Pengaruh FPI dilihat lebih jelas pada 2016, apabila Rizieq menerajui demonstrasi bantahan besar-besaran terhadap gabenor Jakarta ketika itu, Basuki Tjahaja Purnama atau Ahok, seorang Kristian yang kemudian dipenjarakan kerana menghina Islam.

Kes tersebut mendedahkan pertelagahan mendalam antara agama dan politik identity di Indonesia yang terkenal dengan keragaman bangsa dan agama.

Selepas tunjuk perasaan tersebut, Presiden Jokowi berikrar untuk menghentikan gerakan yang boleh mengancam dan memusnahkan tradisi keberagaman dan agama Islam yang dilaksanakan dengan pendekatan sederhana di negara itu.

Peguam Munarman, Aziz Yanuar, berkata mereka akan merayu keputusan itu dan memaklumkan, anak guamnya “tenang” selepas hukuman itu diputuskan.

Pendakwa raya menuduh Munarman, yang ditangkap tahun lalu, mengumpul sokongan bagi kumpulan Daesh dan menggesa hukuman penjara lapan tahun dikenakan ke atasnya.

Munarman bagaimanapun menafikan tuduhan itu