- Iklan -
Berita

Niat baik pada Ramadan bertukar jadi pembaziran makanan di Lembah Klang

Walaupun pengagihan makanan kepada kumpulan miskin dan gelandangan adalah satu amalan kebajikan pada bulan Ramadan, namun kebanyakannya berakhir di tong sampah.

Syaza Norazharuddin
2 minit bacaan
Kongsi
Sukarelawan Pertiwi menyediakan makanan bagi golongan miskin bandar dan gelandangan di Kuala Lumpur. Gambar: AFP
Sukarelawan Pertiwi menyediakan makanan bagi golongan miskin bandar dan gelandangan di Kuala Lumpur. Gambar: AFP

Badan amal yang melaksanakan program agihan makanan di Lembah Klang kini menghadapi masalah pembaziran sepanjang Ramadan apabila ramai individu, kumpulan politik dan selebriti turut melaksanakan program yang sama bagi membantu golongan miskin dan gelandangan.

Walaupun program pengagihan makanan kepada golongan miskin bandar itu dilihat sebagai satu amalan kebajikan, namun malangnya kebanyakan makanan yang diagihkan sering berakhir di tong sampah.

Kumpulan sukarelawan Pertiwi yang menjalankan beberapa program agihan makanan di Kuala Lumpur sering menyaksikan beberapa kumpulan konvoi mengagihkan makanan di beberapa lokasi utama seperti Jalan Tunku Abdul Rahman.

“Kadang-kadang gelandangan dapat sehingga 20 bungkus nasi beriani dan 50 berus gigi pada satu malam,” kata naib presidennya, Munirah Abd Hamid kepada MalaysiaNow.

Menurutnya, lebihan makanan yang diterima golongan itu akhirnya akan dibuang.

NGO Kechara Soup Kitchen, sebuah lagi pertubuhan amal turut mengalami situasi yang sama di mana ia turut berlaku sebelum pandemik Covid-19.

“Sebelum pandemik, seorang boleh dapat hingga 16 ke 17 bungkus makanan panas bagi satu malam,” kata pengarah operasinya, Justin Cheah.

Tahun ini, Kechara menjangkakan pembaziran akan semakin meningkat berikutan kelonggaran sekatan Covid-19 pada Ramadan selari dengan peralihan ke fasa endemik.

Kumpulan itu yakin kelonggaran sekatan itu akan menjadikan semakin banyak inisiatif memberi makanan kepada golongan miskin dan gelandangan sekali gus akan menyebabkan kebanyakannya berakhir di tong sampah.

Tahun lalu, ketika pasar Ramadan hanya sempat beroperasi selama beberapa hari, syarikat pengurusan sampah Alam Flora merekodkan pembaziran sebanyak 33,000 tan makanan sepanjang bulan puasa itu.

Kumpulan pengagihan makanan sering dipersalahkan sekiranya jumlah makanan dibazirkan, atau dibuang ke tong sampah atau dibiarkan di tepi jalan.

Keadaan yang berlaku ini menimbulkan persepsi organisasi tersebut seakan menyekat golongan miskin dan gelandangan dalam usaha untuk membina kehidupan mereka semula.

“Salah faham tentang konsep dapur jalanan ini ialah kami beri makanan kepada mereka sehingga mereka tak perlu kerja,” kata Cheah yang bersama dengan Kechara sejak 14 tahun lalu.

“Ini persepsi yang tidak betul.”

Tahun ini, Kechara meningkatkan usaha mereka dalam membendung pembaziran berlaku sepanjang Ramadan.

“Kami putuskan untuk agihkan makanan kering yang boleh tahan lebih lama dan barangan keperluan berbanding makanan panas,” kata Cheah.

Sementara itu, Pertiwi pula beroperasi secara bergilir dengan NGO lain bagi mengelak berlakunya pertindihan.

“Kami faham ramai yang nak buat amal kebajikan, tapi kami rasa sangat perlu orang ramai kerjasama dengan NGO tempatan yang lebih biasa bergaul dengan kumpulan komuniti terpinggir supaya kita tidak membazirkan banyak makanan.

“Bukan kami tak benarkan mereka agihkan makanan, namun kami mahu orang ramai berfikir dua kali dan berkomunikasi dengan NGO jika mereka nak sumbang kepada orang yang memerlukan pada Ramadan. ”

Seorang sukarelawan veteran, Munirah turut bersetuju.

“Orang ramai fikir kita tak cukup makanan, tapi ini Malaysia, kita sudah banyak makanan, dan banyak dibazirkan.

“Inilah masalah besar kita sepanjang Ramadan ini.”