- Iklan -
Berita

Pakar ingatkan harga pelitup muka tidak dinaikkan selepas perakuan MS Sirim

Penguatkuasaan tanda MS Sirim itu perlu menjurus kepada pengurusan wabak dan bukannya memberi beban kepada peniaga atau pengguna.

Bernama
3 minit bacaan
Kongsi
Orang ramai melintas jalan di ibu negara dengan memakai pelitup muka bagi melindungi diri daripada wabak Covid-19.
Orang ramai melintas jalan di ibu negara dengan memakai pelitup muka bagi melindungi diri daripada wabak Covid-19.

Perakuan dan penandaan MS Sirim bagi pelitup muka bukan perubatan yang akan dikuatkuasakan mulai 4 Julai depan, diharap tidak akan menyebabkan kenaikan harga produk itu di pasaran.

Pakar Epidemiologi dan Biostatik Universiti Putra Malaysia Dr Malina Osman berkata ini kerana sesuatu produk yang perlu mendapat verifikasi atau disahkan oleh agensi tertentu, adakalanya harganya akan menjadi lebih mahal.

“Keputusan kerajaan menerusi kementerian perdagangan dalam negeri dan hal ehwal pengguna (KPDNHEP) ini memang baik untuk memastikan keselamatan individu dari dijangkiti Covid-19 selain mengelakkan lambakan pelitup muka yang tidak berkualiti di pasaran.

“Pewartaan ini adalah wajar dan sepatutnya dilaksanakan lebih awal lagi, cuma saya harap penguatkuasaannya nanti perlu menjurus kepada pengurusan kawalan wabak dan bukannya memberi beban kepada peniaga atau pengguna,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas ketetapan KPDNHEP pada Selasa (5 April) bahawa semua pengilang dan pengimport pelitup muka bukan perubatan perlu membuat permohonan perakuan serta penandaan MS Sirim daripada Sirim QAS International Sdn Bhd berkuat kuasa 4 Julai depan.

Ia susulan pewartaan Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan) Pelitup Muka Bukan Perubatan 2022 di bawah Akta Perihal Dagangan 2011.

Mengulas lanjut Dr Malina berkata sekiranya berlaku peningkatan harga, ia sudah pasti memberi kesan kepada pengguna kerana pelitup muka kini merupakan keperluan asas yang digunakan secara harian dan bagi peniaga pula, mereka mungkin akan mengalami kerugian sekiranya stok pelitup muka sedia ada tidak dapat dihabiskan sehingga tempoh penguatkuasaan 4 Julai depan.

Mengenai tempoh tiga bulan yang diberikan sebelum perkara itu dikuatkuasakan, Dr Malina berkata tempoh itu adalah wajar dan kerajaan juga pastinya telah membuat kajian mengenai tempoh sesuai sebelum ia dikuatkuasakan.

“Secara umumnya, sama juga dengan penguatkuasaan produk lain di mana ada pertimbangan kepada peniaga untuk menghabiskan stok sedia ada dan sekiranya ia tidak dapat dihabiskan selepas 4 Julai, saya harap ada satu mekanisme diperkenalkan supaya pelitup muka yang tiada MS Sirim ini tidak dilupuskan begitu sahaja.

“Mungkin boleh saring pelitup muka yang boleh ‘diselamatkan’ agar dapat digunakan namun ini perlu mendapat persetujuan daripada pihak yang telah dipertanggungjawabkan,” katanya.

Mengulas mengenai denda yang bakal dikenakan sekiranya gagal mematuhi perintah ini, Dr Malina berharap ia tidak dikenakan kepada pengguna yang memakai pelitup muka tanpa tanda MS Sirim.

Sementara itu, Pakar Perubatan Klinikal dan Ketua Jabatan Perubatan, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Malaysia Sabah Dr Alvin Oliver Payus berkata meskipun pewartaan ini bertujuan memastikan pelitup muka di pasaran memenuhi piawaian namun, adalah tidak wajar sekiranya berlaku kenaikan harga kerana ia tidak mempengaruhi proses pembuatan dan penghantaran.

“Hanya yang diperlukan adalah satu badan untuk memantau kualiti pelitup muka yang berada di pasaran… Saya setuju dengan penguatkuasaan ini dalam usaha memastikan orang ramai memakai pelitup muka yang mempunyai perlindungan terbaik.

“Meskipun negara dalam tempoh fasa peralihan ke endemik tetapi pemakaian pelitup muka masih dikekalkan, kita tidak seperti Amerika Syarikat (AS), rakyatnya tidak lagi perlu memakai pelitup muka,” katanya.

Menurutnya pelitup muka yang berada di pasaran terutama yang dijual secara dalam talian dan dibeli terus dari negara China sebagai contoh, agak diragui tahap keselamatannya.

“Pelitup muka bukan perubatan ada sesetengahnya mempunyai standard piawaian tertentu seperti KN95 ia memenuhi standard piawaian negara China manakala N95 memenuhi standard negara AS termasuk Malaysia namun, ada pelitup muka yang dijual secara dalam talian yang terus dari China sukar untuk kita pastikan kualitinya,” katanya.

Dr Alvin dalam pada itu berharap agar kerajaan memberi sedikit kelonggaran kepada peniaga untuk menghabiskan stok sedia ada yang telah dibeli sebelum pengumuman pewartaan ini dibuat, selepas 4 Julai depan.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.