Penerima vaksin lengkap dan dos penggalak pulih daripada gejala jangkitan varian Omicron tiga hari lebih awal berbanding pesakit varian Delta, kata satu kajian pada Jumaat.
Kajian itu juga mendapati individu yang dijangkiti Omicron mungkin kurang mengalami gejala kehilangan deria bau, selain turut mengesahkan penyelidikan terdahulu bahawa jangkitan Omicron kurang teruk berbanding varian lain.
Bagi mengenal pasti perbezaan kesan jangkitan antara Omicron dan Delta, penyelidik menggunakan aplikasi telefon pintar dipanggil ZOE di mana lebih 63,000 orang penerima vaksin di Britain berumur 16 hingga 99 tahun melaporkan simptom Covid yang dialami mereka antara Jun 2021 dan Januari 2022.
Bagi penerima lengkap dua dos vaksin dan dos penggalak, simptom Omicron berlaku selama 4.4 hari, berbanding 7.7 hari bagi jangkitan Delta – di mana wujud perbezaan sebanyak 3.3 hari.
Penerima dua dos vaksin namun tidak mendapat dos penggalak mengalami gejala Omicron selama 8.3 hari, berbanding 9.6 hari bagi Delta, menurut kajian yang diterbitkan dalam jurnal Lancet.
Menurut penyelidik, pemulihan lebih pantas itu menunjukkan “bahawa tempoh penularan mungkin lebih singkat, di mana ia akan memberi kesan kepada dasar kesihatan di tempat kerja dan panduan kesihatan awam.”
Kajian yang akan dibentangkan di Kongres Mikrobiologi Klinikal dan Penyakit Berjangkit Eropah di Lisbon akhir bulan ini juga mendapati hanya 17% daripada mereka yang dijangkiti Omicron kehilangan deria bau, berbanding 53% bagi pesakit dijangkiti varian Delta.
Bagaimanapun, pesakit Omicron mencatat 55% peningkatan risiko mengalami sakit tekak, dan 24% berkemungkinan mengalami suara serak.
Kajian itu juga mendapati pesakit Omicron mencatat 25% kurang berkemungkinan dimasukkan ke hospital.
Pengarang kajian tersebut, Cristina Menni dari King’s College di London berkata ia adalah kertas “peer review” pertama dengan sejumlah besar peserta yang meneliti gejala berbeza dari dua varian itu.
Walaupun kajian itu merangkumi tempoh sebelum varian Omicron BA.2 melanda dunia, “data terkini daripada aplikasi itu menunjukkan tiada perubahan dalam gejala disebabkan Omicron BA.2 berbanding BA.1,” katanya kepada AFP.