Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) menggantung keahlian Rusia daripada Majlis Hak Asasi Manusia PBB (UNHRC) ekoran pencerobohan negara itu ke atas Ukraine.
Penggantungan Rusia dari UNGA merupakan tindakan kedua seumpamanya oleh badan dunia itu.
Pada 2011, PBB menggantung keahlian Libya di mana tindakan terbaru badan dunia itu dipuji Presiden Ukraine Volodymyr Zelensky serta rakan sejawatnya dari Amerika Syarikat (AS) Joe Biden.
Biden yang menyelar tindakan ketenteraan mengakibatkan ratusan orang awam dibunuh seperti apa yang terjadi di bandar Bucha berkata tindakan PBB itu telah menjadikan Moscow disisihkan masyarakat antarabangsa.
“Penipuan Russia tidak dapat menafikan bukti kukuh berhubung peristiwa berdarah yang berlaku di Ukraine.
“Terdapat tanda-tanda bahawa wanita dirogol, orang awam didera dan dibunuh, malah dalam sesetengah kes, mayat mereka dipotong,” katanya.
Dalam pada itu, Zelensky yang sudah lama menuntut tindakan antarabangsa yang lebih keras terhadap Moscow, menyifatkan tindakan PBB sebagai “langkah penting” dan merupakan hukuman terhadap keganasan dilakukan Rusia.
Dari 193 anggota UNGA, 93 negara mengundi supaya keahlian Rusia digantung selepas ia diusulkan oleh AS sementara 24 negara lain mengundi untuk menentang penggantungan itu.
58 negara lagi mengambil sikap berkecuali, sekali gus menunjukkan tidak semua negara menentang tindakan ketenteraan Rusia ke atas Ukraine.
Penggantungan sesebuah negara dari UNGA memerlukan sokongan sejumlah dua pertiga negara anggota yang mengundi untuk menyokong atau menentang sementara ketidakhadiran dan sikap berkecuali tidak dikira dalam pengundian itu.
Sebagai respons, Rusia segera menolak keputusan penggantungan itu di mana kementerian luar negerinya mengecam tindakan tersebut yang disifatkan “tidak sah dan bermotif politik, bagi menghukum negara anggota PBB yang berdaulat yang menjalankan dasar dalam dan luar negeri secara bebas.”
Sementara itu, diplomat tertinggi AS berkata Moscow layak menerima hukuman sedemikian.
“Sebuah negara yang melakukan pencabulan hak asasi manusia yang teruk dan sistematik tidak seharusnya duduk di atas badan yang tugasnya melindungi hak tersebut,” kata Setiausaha Negara Antony Blinken di Brussels.
Negara-negara yang mengundi menentang termasuk China, sekutu Moscow yang dilihat tidak mengkritik pencerobohan itu.
Antara negara yang turut menyokong Rusia ialah Iran, Cuba, Belarus, Syria dan Kazakhstan.
Meskipun wujud tekanan daripada Rusia supaya usul AS itu ditolak, beberapa negara Afrika seperti Afrika Selatan dan Senegal memilih pendirian berkecuali, sama seperti Brazil, Mexico dan India.