- Iklan -
Berita

Sukar bagi parti penentang BN bentuk kerjasama pada PRU15

Keadaan pembangkang pada pilihan raya akan datang mungkin jauh berbeza daripada kesatuan yang ditunjukkan pasukan pembangkang yang menentang Najib Razak ketika PRU14 lalu.

Ahmad Mustakim Zulkifli
3 minit bacaan
Kongsi
Penunggang motorsikal melintasi deretan kibaran bendera parti politik pada PRN Johor 12 Mac lalu.
Penunggang motorsikal melintasi deretan kibaran bendera parti politik pada PRN Johor 12 Mac lalu.

Berita pertemuan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin dan Dr Mahathir Mohamad baru-baru ini menimbulkan kontroversi apabila ianya didedahkan pengerusi Pejuang itu.

Mahathir berkata Muhyiddin bertemunya untuk meminta sokongan untuk kembali menjadi perdana menteri.

Akan tetapi menurut Muhyiddin pertemuan itu diaturkan oleh seorang pemimpin kanan Pejuang yang tidak dinamakan.

Pertemuan itu dikatakan untuk membincangkan kerjasama antara parti-parti pembangkang bagi menghadapi Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang selepas keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Melaka menyaksikan perpecahan dalam kalangan mereka hanya menguntungkan gabungan ditunjangi Umno itu.

BN memenangi kedua-dua PRN itu dengan majoriti dua pertiga walaupun peratusan peningkatan undi terhadap mereka sangat kecil.

Rata-rata penganalisis berkata, kemenangan BN itu disebabkan perpecahan dalam parti-parti pembangkang yang dahulu bernaung di bawah Pakatan Harapan (PH).

Melihat kepada keputusan di kedua-dua negeri itu, tindakan Muhyiddin yang mengusahakan gabungan parti-parti pembangkang dilihat relevan sekiranya pembangkang ingin menumbangkan BN.

Namun menurut seorang penganalisis, Kartini Aboo Talib dari Universiti Kebangsaan Malaysia, berdasarkan kenyataan-kenyataan pemimpin lain, ramai pemain utama politik yang masih bermain tarik tali.

“Semua maklum, parti politik di Malaysia tidak boleh bergerak secara solo, semua perlu kepada permuafakatan dan perkongsian kuasa disebabkan bentuk dan biografi masyarakat yang pelbagai etnik, parti politik keetnikan yang mempengaruhi keperluan parti politik untuk bergabung,” katanya kepada MalaysiaNow.

“Justeru itu, BN, PH, PN, Muafakat Nasional, Gabungan Parti Sarawak, Gabungan Bersatu Sabah, semuanya adalah kesan langsung kepada politik permuafakatan.

“Menjelang PRU15, ramai pemimpin dalam kalangan parti-parti akan mengatur strategi kerjasama dan gabungan.”

Ekoran itu, katanya untuk masa akan datang, masih belum kelihatan parti mana yang akan membentuk gabungan ampuh bagi menentang BN.

“Apa yang pasti di peringkat pusat antara PAS, Umno dan Bersatu tiada lagi ruang untuk bersama.

“Ia ibarat retak yang sudah terbelah melainkan ada perundingan baru dan bersedia untuk tolak ansur dalam aturan kerusi untuk calon.

“Tetapi pada pengamatan saya, Umno dan BN mahu bergerak dalam gabungan mereka sahaja,” katanya.

Baru-baru ini, pengerusi DAP Lim Guan Eng juga secara terang-terangan menolak kerjasama dengan PN untuk PRU15.

Penganalisis politik Awang Azman Pawi dari Universiti Malaya berkata, kerjasama gabungan pembangkang pada PRU15 akan datang sukar dicapai selagi mereka masih curiga-mencurigai selain kesan yang masih berbekas akibat daripada perletakan jawatan Mahathir sebagai perdana menteri pada 2020 dan Langkah Sheraton.

Perletakan jawatan Mahathir membuka ruang kepada kejatuhan PH dan pembentukan PN selain parti-parti serpihan lain seperti Pejuang dan Muda.

Ia bermakna undi PH yang dahulunya berada dalam blok pembangkang sehingga 2018 berpecah kepada beberapa segmen.

“Kesemua mereka trauma teruk hingga melemahkan PH dan terbukti di PRN Melaka, Sarawak dan Johor,” katanya kepada MalaysiaNow.

Awang Azman berkata, kerjasama yang boleh dijangka ialah antara Pejuang dan Warisan yang diketuai oleh Mohd Shafie Apdal.

PN katanya hanya melibatkan Bersatu dan PAS sebagai pemain utama manakala GPS dijangka tidak mahu bekerjasama dengan gabungan itu selepas Parlimen dibubarkan.

“Pembangkang masih belum kukuh jika situasi tersebut berterusan,” katanya.

Jumlah peratusan keluar mengundi yang rendah antara faktor yang menyumbang kepada kemenangan BN di Melaka dan Johor, apabila gabungan itu berjaya membawa keluar pengundi dalam senarai putihnya.

Jentera yang jauh lebih matang dan berkesan antara senjata ampuh BN dalam menghadapi pilihan raya.

Namun Kartini berkata, PRU tidak akan sama dengan PRN kerana PRN membabitkan isu lokal dan setempat yang memainkan peranan dalam menentukan kalah menang seseorang calon.

“Pada PRU rata-ratanya akan melihat isu di peringkat persekutuan dan makro serta mempunyai impak yang berbeza.

“BN mungkin berdepan dengan cabaran berbeza apabila pengundi sudah boleh keluar mengundi selepas negara memasuki fasa endemik,” katanya.