- Iklan -
Berita

Operasi sekolah pelarian Rohingya di Ampang bergelut cabaran kewangan

Sekolah yang sepenuhnya bergantung sumbangan orang ramai kini berdepan tunggakan sewa, sukar sediakan keperluan kanak-kanak pelarian.

Ahmad Mustakim Zulkifli
3 minit bacaan
Kongsi
Gelagat kanak-kanak pelarian Rohingya semasa menghadiri kelas di Darul Eslah Rohingya Academy di Ampang.
Gelagat kanak-kanak pelarian Rohingya semasa menghadiri kelas di Darul Eslah Rohingya Academy di Ampang.

Sebuah sekolah pelarian Rohingya di Ampang, Selangor bergelut untuk beroperasi ketika berdepan dengan cabaran kewangan sekali gus berisiko lumpuh jika masalah itu berlarutan.

Pengasasnya, Mohamad Sadek Ali Hussein berkata, pihak sekolah sudah berhutang sewa kepada tuan rumah tempat sekolah itu didirikan sejak November lepas, selain tidak mampu membayar kakitangan yang bekerja secara sepenuh masa.

“Kami bernasib baik tuan rumah memahami kami beroperasi sepenuhnya menggunakan derma. Namun kami tetap berusaha untuk bayar sewa, selain bil lain,” katanya kepada MalaysiaNow.

“Kami juga tidak mampu sediakan sarapan dan makanan tengah hari untuk pelajar kami.”

Katanya, pada ketika ini pihak sekolah memerlukan RM24,256.

Ia termasuk  tunggakan sewa berjumlah RM750 sebulan dan elaun RM1200 untuk pengajar sepenuh masa untuk sebulan, selain bayaran utiliti.

Kanak-kanak pelarian Rohingya khusyuk mendengar penerangan guru dalam kelas bahasa Inggeris di Darul Eslah Rohingya Academy.

Seramai 112 kanak-kanak etnik Rohingya bersekolah di Darul Eslah Rohingya Academy ketika ini.

Ibu bapa mereka melakukan pelbagai pekerjaan antaranya bekerja sebagai pencuci dan pembersih sampah.

Empat tenaga pengajar termasuk dua kakitangan sepenuh masa bertanggungjawab mendidik kanak-kanak tersebut.

Selain itu, ribut petir yang melanda kawasan tersebut beberapa bulan lalu turut mengakibatkan beberapa perkakasan elektrik seperti lampu dan kipas tidak berfungsi selepas satu kejadian elektrik terputus.

Sadek berkata, sehingga kini mereka tidak mampu membayar kos pembaikian.

“Tandas kami hanya ada satu, tidak cukup untuk 100 lebih pelajar,” katanya.

Kelas agama dijalankan di ruangan kecil bangunan yang disewa Darul Eslah Rohingya Academy.

Sekolah itu diasaskannya pada 2007 di sebuah rumah teres yang disewa.

Berkat derma ramai pihak, dia mampu mengubah suai dengan membuat ruang tambahan di rumah itu bagi memperluaskan tempat belajar.

Salah seorang tenaga pengajar ialah Anwar Shah Mohammad Siddiq yang mengajar di sekolah itu sejak tujuh tahun lepas.

“Saya mengajar bahasa Inggeris dan berinteraksi dengan anak-anak ini selain mengambil mereka ke sekolah dari rumah mereka.

“Memang sukar untuk saya bertahan,” katanya.

Bagaimanapun, dia bersemangat kerana melihat kesungguhan anak-anak murid untuk belajar di sekolah tersebut.

Tinjauan MalaysiaNow di premis itu mendapati hampir setiap ruang digunakan untuk kelas kanak-kanak Rohingya.

Subjek yang diajar termasuk bahasa Inggeris, bahasa Melayu, mengaji Al-Quran dan matematik.

Ruang atas rumah itu dijadikan perpustakaan dan bahagian pentadbiran.

Kelas murid dipisahkan oleh pembahagi.

Gelagat gembira kanak-kanak Rohingya di kelas ketika gambar mereka diambil.

Terdapat ruang untuk mengambil air wuduk, selain dapur dan tandas bagi kegunaan lebih 100 murid Rohingya.

Sadek yang pernah bekerja dengan agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang berpangkalan di Malaysia berkata, sekolah itu memerlukan sekurang-kurangnya RM11,000 sebulan untuk beroperasi.

“Namun tidak selalu kami menerima jumlah optimum.

“Apa yang kami dapat, kami akan bahagikan mengikut keutamaan,” katanya.

Menurutnya, kira-kira 20,000 kanak-kanak Rohingya dianggarkan berada di Malaysia.

Di kawasan Ampang, terdapat 300 kanak-kanak yang mana 112 daripada mereka belajar di sekolah itu manakala bakinya berpecah antara sekolah mubaligh dan ditaja oleh persatuan bukan kerajaan.

Seorang lagi tenaga pengajar, Jani Alam menghadiri sekolah Darul Eslah itu kini menabur bakti sebagai tenaga pengajar separuh masa dan mengajar Bahasa Melayu.

“Ayah saya meninggal pada 2018. Ibu meminta saya bekerja. Abang saya juga sudah berkahwin dan tidak mampu menanggung persekolahan saya.

“Saya bekerja di bengkel kereta selama dua bulan dan kini bekerja separuh masa di klinik.

“Saya tidak mahu murid-murid saya berhenti belajar seperti saya,” katanya yang menyimpan hasrat melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.

Bagi Sadek, apa yang ditakutinya ialah masa depan kanak-kanak tersebut.

“Mereka tidak ada dokumen, tidak bernegara (stateless) tidak dibenarkan menyambung pengajian di sini.

“Tanpa pendidikan, mereka akan terjerumus dalam jenayah atau bergaduh dengan orang tempatan,” katanya.

Dia mahu kanak-kanak tersebut berjaya seperti murid-murid sebelum ini.

Ada bekas pelajar sekolah itu yang berjaya menyambung pengajian di luar negara seperti di Amerika Syarikat, Kanada dan Australia.