- Iklan -
Berita

Jepun kesan kes pertama Omicron XE di lapangan terbang

Seorang wanita berusia 30-an didapati positif ketika menjalani ujian saringan di lapangan terbang Narita.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Varian Omicron XE lebih cepat menular lebih 12% berbanding sub varian yang lain. Gambar: AFP
Varian Omicron XE lebih cepat menular lebih 12% berbanding sub varian yang lain. Gambar: AFP

Jepun mengesahkan kes pertama varian Omicron XE melibatkan seorang wanita yang tiba di lapangan terbang Narita, Tokyo pada 26 Mac, menurut Agensi Berita Kyodo.

Wanita berusia 30-an itu tinggal di Amerika Syarikat dan tidak menunjukkan sebarang gejala ketika tiba di lapangan terbang, menurut kementerian kesihatan, buruh dan kebajikan pada Isnin, tanpa menyatakan kewarganegaraannya.

Sebelum ini, wanita itu sudah menerima dua suntikan vaksin Pfizer Inc., tetapi disahkan positif varian itu ketika menjalani ujian saringan di lapangan terbang.

Wanita itu kemudiannya menerima rawatan di pusat kesihatan sebelum dibenarkan keluar setelah tempoh kuarantin tamat.

Strain XE merupakan gabungan subvarian BA.1 dan BA.2 Omicron.

Menurut laporan, kadar kebolehjangkitannya 12.6% lebih cepat berbanding BA.2, meskipun butiran lanjut mengenai varian baru itu belum diketahui.

Kira-kira 1,100 kes varian XE direkodkan di Britain setakat 5 April, menyumbang kurang satu peratus jangkitan di negara itu.