Dua diplomat Malaysia ke Emiriah Arab Bersatu (UAE) yang dipanggil pulang akan ditempatkan di Wisma Putra sebelum diberikan penugasan baharu dan bukan di “pool” Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), kata Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) Mohd Shafiq Abdullah.
Beliau berkata dakwaan seperti yang tular di media sosial bahawa dua diplomat itu diletakkan di “pool” JPA dan istilah “cold storage” (dipetisejukkan) adalah tidak tepat dan tidak berlaku, sebaliknya mereka akan diberi kursus meningkatkan kemahiran apabila pulang.
Wisma Putra dalam kenyataan semalam (11 April) berkata duta Malaysia ke UAE dan konsul jeneral Malaysia di Dubai dipanggil pulang ke kementerian luar (KLN) setelah gagal menyelaras urusan pentadbiran dan logistik semasa lawatan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob ke UAE pada 29 hingga 31 Mac lalu.
“Penempatan semula duta-duta untuk menjalani kursus itu merupakan perkara biasa di KLN,” kata Shafiq dalam perjumpaan bersama media hari ini, serta menambah terdapat 107 perwakilan Malaysia kini ditempatkan di luar negara.
Shafiq menjelaskan tiada istilah “cold storage” dalam perkhidmatan awam kerana penjawat awam yang dipanggil balik sementara menunggu penempatan baru akan diberi kursus bagi meningkatkan kemahiran selain gaji mereka masih berjalan.
“Mereka dibayar gaji, gaji tidak dipotong dan diberi tugasan serta kursus. Dalam perkhidmatan orang pergi kursus dibayar gaji. Interpretasi ‘cold storage’ dalam kalangan masyarakat itu berbeza-beza dan harus diperbetulkan,” katanya.
Beliau berkata penempatan baru bukanlah perkara negatif apabila diletakkan dalam sistem “pool” sementara menunggu penempatan baharu.
“Penjawat awam bersedia ditukarkan dan itu adalah antara ikrar perkhidmatan awam iaitu ‘berkhidmat tanpa rasa takut atau berkepentingan’,” katanya.
Shafiq berkata sebanyak 29 perjawatan perwakilan yang masih belum diisi yang mana tanggungjawab itu kini digalas kuasa usaha sementara (charge d’affaires) dan perkara tersebut sedang dibincangkan dengan Ketua Setiausaha KLN M. Shahrul Ikram Yaakob bagi pengisian segera.
Menurutnya, antara faktor yang menyebabkan pengisian semula tidak dapat dilakukan adalah kebanyakan pegawai telah pencen dan juga pandemik COVID-19 yang menyebabkan penghantaran diplomat tidak dapat dilaksanakan.