- Iklan -
Berita

Ahli kongres dedah selain Viagra, tentera Brazil juga beli implan zakar

Eliaz Vaz berkata kementerian pertahanan telah membeli 60 unit implan 'zakar silikon' menelan belanja antara AS$10,600 hingga AS$12,800 bagi setiap unit.

AFP
2 minit bacaan
Kongsi
Anggota tentera Brazil mengambil bahagian dalam latihan Viking 22 di Planalto Military Command, Brasília, pada 5 April. Gambar: AFP
Anggota tentera Brazil mengambil bahagian dalam latihan Viking 22 di Planalto Military Command, Brasília, pada 5 April. Gambar: AFP

Selepas pendedahan tentera Brazil membeli pil Viagra bagi kegunaan anggotanya, seorang penggubal undang-undang mendakwa pada Selasa ia juga membeli 60 unit implan zakar – tanpa sebarang alasan pembelian dikemukakan.

Ahli kongres Eliaz Vaz yang sebelum ini mendedahkan pembelian Viagra oleh pasukan keselamatan negara itu, berkata kementerian pertahanan juga turut “meluluskan pembelian 60 unit prostesis zakar.”

Kementerian itu tidak memberikan sebarang respons ketika dihubungi AFP.

“Persoalan yang kami bangkitkan ialah: mengapa kerajaan (Presiden Jair) Bolsonaro membelanjakan wang awam untuk bayar implan prostesis ini?” kata Vaz dalam sebuah nota kepada AFP.

“Rakyat Brazil bergelut untuk dapatkan ubat, namun sekumpulan (orang) diberikan rawatan prostesis yang mahal.”

Vaz berkata kementerian itu membeli sebanyak 60 implan “zakar silikon” dengan kos antara 50,000 hingga 60,000 reais (kira-kira AS$10,600 hingga AS$12,800) bagi setiap unit untuk tiga hospital tentera.

Jumlah kos pembelian tersebut melebih AS$700,000.

Beliau berkata maklumat itu diperolehinya melalui “laman sesawang telus” kerajaan, yang membolehkan butiran mengenai perbelanjaan awam diakses.

Ahli kongres itu berkata beliau akan melaporkan perkara itu kepada pendakwa raya persekutuan bagi proses siasatan.

Pada Isnin, pasukan tentera negara itu terpaksa berdepan siasatan ketat selepas Vaz mendedahkan pembelian 35,000 unit Viagra.

Pendedahan itu juga turut mengundang kecaman dan menjadi bahan jenaka secara meluas di media sosial.

Menurut Vaz, pesanan yang dilihat dibuat dalam butiran perbelanjaan itu adalah sildenafil, bahan aktif yang terkandung dalam Viagra.

Menurut kementerian pertahanan, pil tersebut dibeli untuk merawat pesakit yang menghidap sejenis penyakit tekanan darah tinggi.

Bagaimanapun, penjelasan kementerian itu tidak dapat membendung kecaman dan ulasan daripada pengguna media sosial.

“(Perkara) ini menjelaskan mengapa sokongan tentera kepada Bolsonaro meningkat dan terus meningkat,” sindir seorang pengguna media sosial merujuk hubungan rapat presiden itu dengan angkatan tentera.

“Ada yang mengatakan pil (yang dibeli) ini adalah bagi membantu angkatan bersenjata merosakkan demokrasi dengan lebih keras,” kata laman berita satira Sensacionalista.