- Iklan -
Berita

Pemimpin Amanah tidak puas hati karya seni dibeli Sultan Selangor, dakwa langgar adab Islam

Mujahid Yusof Rawa berkata satira harus selari dengan adab seorang Muslim.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Karya catan yang dibeli Sultan Sharafuddin Idris Shah yang menggambarkan Dewan Rakyat dipenuhi monyet dan katak. Gambar: Facebook Istana Selangor
Karya catan yang dibeli Sultan Sharafuddin Idris Shah yang menggambarkan Dewan Rakyat dipenuhi monyet dan katak. Gambar: Facebook Istana Selangor

Ahli Parlimen Amanah Mujahid Yusof Rawa dilihat tidak puas hati dengan gambaran terhadap beliau dan rakan sejawatannya di Dewan Rakyat serupa monyet dan katak dalam sebuah karya catan yang dibeli Sultan Selangor, mengatakan ia melanggar etika dan adab agama Islam.

Bekas menteri hal ehwal agama itu berkata larangan mencemuh dan merendah-rendahkan sesuatu golongan termaktub dalam Al-Quran dan hadis.

“Satira dalam apa jua bentuknya perlulah menghormati adab-adab seorang Muslim,” kata Mujahid, sehari selepas laporan berkenaan Sultan Sharafuddin Idris Shah yang tertarik dengan sebuah lukisan dan membelinya bagi hiasan bilik peribadi.

Mujahid menyanggah apa yang disifatkannya sebagai sikap melabel secara pukal
terhadap semua ahli Parlimen, mengatakan ia juga turut menjejaskan kemuliaan Dewan Rakyat.

“Setiap ahli Parlimen mahupun para pelawat ditetapkan untuk tunduk hormat sebelum duduk di kerusi masing-masing sebagai memuliakan dewan.

“Saya tidak fikir kita berbuat demikian ketika memasuki zoo atau kandang haiwan!” katanya.

Semalam, akaun media sosial Istana Selangor menunjukkan Sultan Sharafuddin bergambar bersama catan lukisan yang memaparkan suasana kerusi Dewan Rakyat yang dipenuhi monyet dan katak di kedua-dua blok pembangkang dan kerajaan.

“Sebuah hasil karya seni lukisan telah menarik perhatian Sultan Selangor.

“Sebaik melihatnya, baginda berkenan untuk membeli karya lukisan itu dan menggantungnya di ‘private study room’ baginda,” tulis kapsyen hantaran tersebut di Instagram.

Lukisan itu seakan sama atau disadur daripada sebuah karya seniman Britain, Banksy yang menggambarkan Parlimen Britain dipenuhi cimpanzi pada 2009.

Karya Banksy tersebut dijual dengan nilai bidaan mencecah hampir £9.9 juta atau RM50 juta pada 2019.

Rata-rata pengguna media sosial berkata lukisan itu memberi satu maksud yang “mendalam” bagi situasi politik negara, di samping mencerminkan kekecohan dan insiden memaki yang kerap berlaku ketika sidang Dewan Rakyat.

Namun, Mujahid berkata media lebih suka menonjolkan berita sensasi mengenai ahli Parlimen yang bertikam lidah tetapi jarang melaporkan “idea-idea bernas dan perbahasan yang beradab”.

Beliau berkata ahli Parlimen turut bersatu bagi mendapatkan sokongan majoriti dua pertiga
dalam banyak isu demi kepentingan rakyat termasuk Undi 18, Perjanjian Malaysia 1963, dan terbaru rang undang-undang (RUU) anti lompat parti.

“Kami akur dengan titah Yang di-Pertuan Agong yang menasihati dengan tegas perlunya kestabilan politik,” katanya.

“Saya tidak fikir beruk, kera dan monyet mahupun katak sendiri mampu melakukan demikian.”

Walaupun mengakui ramai rakyat yang kecewa, namun beliau berkata orang ramai harus adil dan objektif seperti bertanya soalan yang lebih besar keada orang politik yang memainkan sentimen perkauman dan agama yang sempit.

Beliau turut memetik budaya menjatuhkan sehingga mempermainkan mandat rakyat, fitnah-memfitnah serta tawar-menawar pangkat dan kedudukan untuk lompat parti, menyifatkannya lebih berbahaya kepada institusi politik negara dan kestabilannya.

“Hormatilah pilihan majoriti para pengundi masing-masing kerana mereka tidak mahu disabitkan sebagai pengundi beruk dan kera!”