Tentera Israel menembak mati tiga warga Palestin di Tebing Barat pada Rabu termasuk seorang remaja dan peguam, kata kementerian kesihatan Palestin.
Menurut kementerian itu, seorang remaja berusia 14 tahun meninggal dunia selepas ditembak anggota tentera di Bethlehem.
Pihak tentera Israel berkata remaja itu melontarkan bom petrol di mana pasukan bertindak balas “menggunakan peluru hidup bagi menghentikan ancaman tersebut.”
Dalam kejadian berasingan, seorang warga Palestin terbunuh akibat tembakan tentera Israel di Nablus, kata kementerian itu lagi.
Kejadian itu berlaku selepas Makam Joseph yang sedang dibaik pulih didakwa telah dirosakkan oleh warga Palestin semalam.
Mangsa tembakan dikenal pasti sebagai Mohammed Assaf, 34, seorang peguam yang bekerja di Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) yang merupakan organisasi menentang aktiviti penempatan Israel di Palestin.
Seorang pegawai PLO berkata, ketika kejadian, Assaf sedang memandu untuk menghantar anak saudaranya ke sekolah dan berhenti di tepi jalan untuk menyaksikan rusuhan yang berlaku di Makam Joseph.
Kenyataan tentera mengenai operasi Tebing Barat pada Rabu berkata seorang “suspek bersenjata” telah ditembak berhampiran Nablus.
Bagaimanapun ia tidak menjelaskan sama ada suspek itu merujuk kepada Assaf.
Tentera Israel mengawal kawasan sekitar makam itu semasa kerja-kerja baik pulih sedang dijalankan.
Tentera berkata ratusan warga Palestin membaling batu dan bom petrol ke arah tentera yang bertindak balas dengan tembakan bagi meleraikan rusuhan.
Berhampiran Ramallah, kementerian kesihatan Palestin berkata seorang lagi warga Palestin terbunuh dalam pertempuran yang tercetus selepas tentera Israel melakukan serbuan penangkapan.
Tiada ulasan daripada tentera atau polis Israel berkenaan laporan tersebut.
Rakaman menunjukkan puluhan warga Palestin membaling batu ke arah tentera Israel dan bunyi tembakan juga turut kedengaran.
Badan keselamatan dalam negeri Israel, Shin Bet berkata tiga rakyat Palestin yang merancang untuk melakukan serangan terhadap warga Israel telah diberkas dalam satu operasi serbuan.
Menurut kenyataan tentera dan polis Israel, kira-kira 20 orang yang didakwa sebagai suspek pengganas ditahan dalam operasi yang dijalankan pada Rabu.
Tentera Israel meningkatkan operasi serbuan di Tebing Barat berikutan serangan dua warga Palestin dari wilayah itu dan tiga anggota minoriti Arab Israel menyebabkan 14 warga Israel terkorban sejak akhir Mac.
Lebih 20 warga Palestin yang kebanyakannya bersenjata juga turut terbunuh berikutan operasi tentera Israel yang dilaksanakan sejak Januari.
Kementerian luar Palestin berkata pihaknya menganggap Israel “bertanggungjawab sepenuhnya atas akibat” daripada tindakan tentera negara itu sendiri.
Sementara itu, jurucakap presiden Palestin merayu masyarakat antarabangsa untuk campur tangan berhubung konflik terbaru antara kedua-dua wilayah tersebut.
Israel menuduh Pihak Berkuasa Palestin tidak mengambil tindakan secukupnya bagi mengekang aktiviti militan dan menuduhnya menggalakkan keganasan terhadap warga Israel.
Konflik berdarah itu tercetus ketika bulan suci Ramadan disambut umat Islam sama seperti apa yang berlaku Mei lalu di mana konflik antara Gaza dan Israel telah menyebabkan perang berlarutan selama 11 hari antara kedua-dua wilayah.