- Iklan -
Berita

Staf bekas menteri bergelar Datin ‘bocorkan maklumat diplomatik sensitif’

Isu tersebut timbul berikutan tindakan Wisma Putra terhadap dua diplomat di UAE akibat kegagalan mereka mengatur lawatan perdana menteri ke negara itu baru-baru ini.

MalaysiaNow
1 minit bacaan
Kongsi
Wisma Putra biasa mengambil tindakan ke atas pegawai diplomatiknya yang gagal melaksanakan tugas. Gambar: Bernama
Wisma Putra biasa mengambil tindakan ke atas pegawai diplomatiknya yang gagal melaksanakan tugas. Gambar: Bernama

Seorang pembantu kepada bekas menteri luar mungkin bakal berdepan masalah kerana membocorkan maklumat sensitif yang boleh menjejaskan pegawai-pegawai diplomatik Malaysia di luar negara, berikutan mesej audio seorang pegawai Wisma Putra kepadanya tersebar dalam talian, MalaysiaNow difahamkan.

Dalam mesej yang mulai tular minggu lalu, seorang pegawai didengar sedang mengadu kepada wanita yang bergelar “Datin” itu mengenai masalah yang dihadapi diplomat Malaysia di luar negara.

“Sesetengah maklumat itu tidak sepatutnya diketahui umum,” kata satu sumber kepada MalaysiaNow.

Pegawai dalam audio itu bagaimanapun dapat dikenal pasti dan dipanggil bagi menerangkan mesej audio tersebut.

“Dia mendedahkan mesej audio itu dihantar kepada seorang Datin yang merupakan bekas setiausaha akhbar kepada bekas menteri luar.

“Akhirnya diketahui bukan dia yang membocorkan fail audio tersebut,” tambah sumber itu.

Perkembangan terbaru itu timbul susulan tindakan Wisma Putra terhadap dua diplomat negara di UAE selepas mereka gagal mengatur lawatan rasmi Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob akhir bulan lalu.

Ekoran kecuaian komunikasi sehingga pegawai UAE tidak dimaklumkan mengenai lawatan Ismail, duta Malaysia ke UAE Tarid Sufian, dan konsul jeneralnya di Dubai, Hasril Abdul Hamid dipanggil balik dan kini ditempatkan di Putrajaya.

Akibat kecuaian diplomatik tersebut, tiada sebarang sambutan rasmi diberikan kepada Ismail ketika beliau tiba di lapangan terbang Dubai.

Ekoran itu, UAE menyatakan rasa malu mereka selain turut memohon maaf kepada delegasi Malaysia.

Difahamkan, sebelum ini, Wisma Putra biasa mengambil tindakan sedemikian terhadap diplomat yang gagal melaksanakan tugas mereka.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.