Syarikat pembuat konfeksi gergasi Itali, Ferrero berkata ia akan menghentikan pengambilan sumber minyak sawit dari Sime Darby Plantation selepas pihak berkuasa Amerika Syarikat mendapati syarikat Malaysia itu mengamalkan buruh paksa dalam operasinya.
“Ferrero akan mematuhi keputusan Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan (CBP) AS,” kata syarikat itu dalam satu e-mel kepada Reuters.
Ferrero yang menggunakan minyak sawit dalam pembuatan produk coklat Ferrero Rocher dan Nutella turut berkata ia telah meminta supaya pembekal globalnya, Sime Darby menghentikan penghantaran minyak sawit dan minyak isirong sawit.
Walaupun Ferrero tidak membeli jumlah minyak sawit yang banyak dari Sime Darby, namun langkah tersebut tetap memberi tamparan hebat kepada syarikat Malaysia itu berikutan dua syarikat lain, Hershey Co dan General Mills Inc turut mengambil keputusan sama sebelum ini.
Dalam pada itu, Sime Darby memberitahu Reuters bahawa ia telah mengambil langkah berhubung hak asasi manusia dalam syarikatnya dan semua pihak bekepentingan dalam syarikat komited dalam menjamin kemampanan operasinya.
Sim Darby turut menambah Ferrero bukan pelanggannya.
Berhubung perkara tersebut, Ferrero menjelaskan ia tidak membeli produk sawit tersebut secara terus dari Sime Darby yang dikatakan membekalkan 0.25% daripada kegunaan minyak sawitnya.
Berikutan keputusan Amerika Syarikat yang mengatakan wujud “amalan buruh paksa” dalam operasi Sime Darby selain mengatakan wujud bukti mencukupi sekali gus membolehkan barangan produknya disita.