Teka-teki mengenai calon perdana menteri daripada Umno dan Barisan Nasional (BN) terjawab apabila parti itu sebulat suara mengumumkan Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob sebagai “poster boy” pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Bagaimanapun persoalan timbul apakah ini merupakan helah kluster mahkamah Umno bagi mendapat persetujuan Ismail untuk membubarkan Parlimen?
Felo Kanan Singapore Institute of International Affairs, Oh Ei Sun berpandangan pengumuman terbaru Umno itu merupakan strategi untuk mempercepatkan tarikh PRU15.
“Ia tentunya satu kompromi yang dicapai antara fraksi perdana Umno dengan Ismail Sabri, yang kini tiada lagi alasan untuk menangguhkan PRU15,” katanya kepada MalaysiaNow.
“Dia kini berada dalam situasi ‘checkmate’.”
Sebelum ini, antara nama yang disebut-sebut bakal menjadi calon perdana menteri BN ialah Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan yang sebelum ini sudah pun menyatakan hasrat untuk bertanding di kerusi Parlimen.
Pengumuman itu juga menurut Oh, tidak bermakna Ismail berada dalam keadaan yang selesa.
“Besar kemungkinan. Ada seribu satu sebab mengapa Umno tidak perlu menjadikannya perdana menteri selepas parti itu menang, tambah-tambah jika mereka menang besar,” katanya.
Oh merujuk kepada pelantikan mengejut Onn Hafiz Ghazi sebagai menteri besar Johor terbaru menggantikan penyandang, Hasni Mohammad yang digembar-gemburkan BN sebagai calon menteri besar mereka semasa kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor baru-baru ini.
Sementara Awang Azman Awang Pawi dari UM berkata pengumuman tersebut semenangnya usaha Umno mempercepatkan tarikh PRU15 namun tidak bermakna nasib Ismail bakal menjadi seperti Hasni di Johor.
“Kebarangkalian nasib Ismail menjadi seperti Hasni, iaitu ditukar selepas menang masih tidak dapat ditentukan kerana kuasa akhir ialah budi bicara Yang di-Pertuan Agong,” katanya kepada MalaysiaNow.
Strategi Umno?
Kartini Aboo Talib berkata dari UKM berkata, pengumuman itu menjadi strategi Umno untuk meyakinkan rakyat yang semakin selesa terhadap kepimpinan Ismail yang juga ahli Parlimen Bera itu sebagai satu “tangkal” untuk menarik pengundi.
“Ismail Sabri akan disokong dan kemungkinan boleh mempertahankan kerusi Parlimen Bera atas dedikasi dan ketulusan mengurus negara dengan jayanya.
“Cuma Umno juga harus sedar bahawa perubahan trend lantikan PM tidak semestinya individu itu ialah presiden Umno.
“Pemilihan dibuat secara terbuka dan disokong majoriti Ahli Dewan dan dipersetujui oleh Yang di-Pertuan Agong melalui Perkara 40 (2) (a) dan Perkara 43 (2) (a) Perlembagaan Persekutuan,” katanya kepada MalaysiaNow.
Kartini juga tidak menganggap pengumuman Umno itu sebagai satu helah untuk mengadakan PRU15 lebih awal.
Umno dalam kenyataan pada Khamis juga membuat keputusan untuk tidak meneruskan memorandum persefahaman (MoU) dengan Pakatan Harapan (PH).
Menurut Awang Azman, kedudukan MoU tersebut semakin rapuh selepas Ismail diumum menjadi calon perdana menteri.
Oh pula berkata, dengan jangkaan tarikh PRU15 yang semakin hampir, pembangkang dilihat tidak bersedia.
“Gelombang pengundi sudah lama menolak mereka, dengan ramai pengundi kembali kepada BN dan ini tidak mungkin berubah melainkan ada skandal besar atau kesilapan dari pihak kerajaan,” katanya.
Nasib pembangkang terutama PH menurut Kartini, sudah pun tertulis dan disahkan oleh kenyataan Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar baru-baru ini.
“Agak menarik bila Nurul Izzah menjelaskan bahawa PH memerlukan masa lebih 10 tahun utk kembali dipilih.
“Ini bermakna PH sudah pun kalah sebelum bertanding dan nasib kepembangkangan akan berdepan cabaran sukar untuk PRU15,” katanya.