Petang Sabtu bulan Februari lalu, Mohd Sobrin Salleh pulang dari tempat kerjanya di Pulau Pinang dengan bersemangat.
Dia baru diterima masuk bekerja di tempat baru dengan gaji yang lebih baik daripada pekerjaannya sebelum ini di kampungnya di Sitiawan, Perak.
Sobrin juga teruja ingin berjumpa anak sulungnya yang baru sebulan lahir setelah seminggu bertugas di Pulau Mutiara itu.
Namun ketika motornya tiba di Segari, Perak, dia bertembung dengan seekor anjing di sebuah jalan raya.
Pertemuan yang sepatutnya menghadiahkan kegembiraan buat keluarga lelaki berusia 28 tahun itu bertukar tragedi apabila dia kemalangan susulan kemalangan tersebut.
Kemalangan itu mengakibatkannya terlantar selama beberapa minggu di hospital.
Dia berulang-alik antara hospital di Manjung dan Ipoh sebelum dibenarkan pulang ke rumah bapanya.
Akibat daripada kemalangan itu, dia kehilangan separuh tempurung kepalanya dan kini berada dalam fasa pemulihan.
“Saya memang tak ingat apa-apa selepas kemalangan, saya hanya mendapat semula ingatan saya ketika berada sudah berada di rumah,” katanya ketika ditemui MalaysiaNow di rumah bapanya di Sitiawan, Perak baru-baru ini.
Katanya, semasa mula-mula sembuh, dia kehilangan memori terhadap banyak perkara. Dia tidak mampu mengecam hampir semua orang tersayang.
“Isteri saya yang banyak membantu memulihkan ingatan, selain membantu memulihkan pergerakan saya,” katanya yang tidak mampu menggerakkan badan beberapa minggu selepas keluar daripada hospital.
Isterinya, Nur Azlin Che Yob, 26, juga tidak terlepas berdepan ujian yang menduga emosi apabila menerima berita yang mengejutkan itu.
“Ketika itu saya baru habis berpantang selepas melahirkan anak sulung.
“Setelah suami dibawa pulang, saya terpaksa menghantar bayi saya ke pangkuan keluarga untuk dijaga oleh ahli keluarga lain kerana saya menguruskan suami,” katanya.
Katanya, pada awalnya, suaminya sering meracau.
Kini keadaannya semakin pulih walaupun Sobrin sukar untuk tidur malam akibat rasa pening yang kadang-kadang menyerang kepalanya.
“Dia sedang menunggu temujanji bersama doktor untuk menyambung semula tempurung kepalanya. Kos anggaran sebanyak RM1,000 namun tidak termasuk kos ubat dan lain-lain.
“Buat masa ini, doktor memintanya memakan ubat sawan dua kali sehari,” kata Azlin.
Setiap pagi dan petang, Sobrin akan berjalan di luar kawasan rumahnya bagi melatih semula tubuhnya setelah lama terlantar di rumah, sambil ditemani Azlin.
Tambah Azlin, ketika ini pasangan itu tidak mempunyai sebarang punca pendapatan memandangkan dirinya tidak bekerja dan hanya mengharapkan ihsan adik-beradik dan keluarga kedua-dua belah pihak.
Sobrin masih membayar rumah sewa yang didiami bersama isterinya walaupun kini menetap bersama ayahnya sementara menunggu kesihatannya pulih.
Meskipun masih tidak berupaya, Sobrin yang bekerja sebagai buruh itu tidak menunjukkan tanda-tanda putus asa.
Sebagai lelaki yang baru bergelar bapa setelah dua tahun meniti alam perkahwinan, bayinya itu menjadi pembakar semangat untuk dia terus mencari rezeki.
“Selepas pulih saya ingin terus bekerja.
“Syarikat memberitahu mereka sanggup tunggu untuk saya kembali semula,” kata Sobrin.
Bagi Azlin, kemalangan itu membawa cabaran baru menjelang Syawal tahun ini.
“Kalau dulu dia (Sobrin) yang paling bersemangat, membeli-belah dan pergi ke sana-sini.
“Tahun ini kurang meriah sebab abang masih lemah. Pakai sahaja apa yang ada,” katanya.
Ikuti kami di WhatsApp & Telegram
Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.