- Iklan -
Berita

424,000 kanak-kanak bergelut masalah kesihatan mental, kata MyCaps

Pencegahan masalah kesihatan mental perlu bermula dari seawal usia bayi, dengan ibu bapa memainkan peranan penting dalam memastikan kesejahteraan mental anak-anak.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Pertubuhan Kesihatan Sedunia menyatakan 20% kanak-kanak di seluruh dunia mengalami masalah kesihatan mental yang kebanyakannya tidak dikesan dan tidak menerima rawatan.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia menyatakan 20% kanak-kanak di seluruh dunia mengalami masalah kesihatan mental yang kebanyakannya tidak dikesan dan tidak menerima rawatan.

Berdasarkan statistik tinjauan kesihatan dan morbiditi Malaysia pada 2019, dianggarkan 424,000 kanak-kanak bergelut dengan masalah kesihatan mental yang menggambarkan isu kesihatan mental dalam kalangan golongan itu di negara ini sebagai satu epidemik.

Persatuan Psikiatri Kanak-Kanak dan Remaja Malaysia (MyCaps) memaklumkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pula menyatakan 20% kanak-kanak di seluruh dunia mengalami masalah kesihatan mental yang kebanyakannya tidak dikesan dan tidak menerima rawatan.

“Menurut WHO dalam 50%, masalah kesihatan mental bermula sebelum mereka berumur 14 tahun dan 75% bermula pada umur 20-an,” menurut persatuan itu dalam kenyataan bersempena Hari Kesihatan Mental Bayi, Kanak-kanak dan Remaja Sedunia yang akan disambut 23 April ini.

Menurut MyCaps, pencegahan masalah kesihatan mental perlu bermula dari seawal usia bayi, dengan ibu bapa memainkan peranan penting dalam memastikan kesejahteraan mental anak-anak mereka melalui penyediaan persekitaran berkualiti dan sejahtera.

Ini termasuk memastikan persekitaran mereka sentiasa selamat, stabil dan penuh kasih sayang.

“Keperluan kesihatan mental kanak-kanak termasuklah menerima kasih sayang tidak berbelah bahagi daripada ibu bapa. Kanak-kanak perlu berada dalam persekitaran yang selamat, tenteram dan terjamin serta mereka tahu adanya sokongan.

“Di samping itu, peluang untuk mereka bermain dengan kanak-kanak lain, dapat memberi kesempatan untuk mereka membina keyakinan dan harga diri,”  menurut kenyataan itu.

Pada masa ini, banyak kanak-kanak membesar dalam persekitaran rumah tidak selamat yang mana ibu bapa mereka tiada secara fizikal atau emosi.

“Bagi peringkat kanak-kanak dan remaja pula, ibu bapa perlu menggalakkan perbualan sihat dengan mendengar secara aktif serta memberikan mereka ruang untuk bercakap tanpa bersikap kritikal dan menghakimi,” menurut kenyataan itu.

Menurut MyCaps, kesihatan mental yang baik mendorong perkembangan, pencegahan, pemulihan dan daya tahan untuk kanak-kanak membesar dengan sihat bagi mencapai potensi, membentuk resilien dan peribadi positif apabila meningkat dewasa.