- Iklan -
Berita

Mat Sabu tak mahu PN, BN dalam pendekatan ‘khemah besar’

Menurut presiden Amanah, khemah besar Pakatan Harapan harus terdiri daripada parti-parti pembangkang.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Deretan perang bendera antara Perikatan Nasional, Barisan Nasional dan Pakatan Harapan di Bukit Rambai pada PRN Melaka tahun lalu.
Deretan perang bendera antara Perikatan Nasional, Barisan Nasional dan Pakatan Harapan di Bukit Rambai pada PRN Melaka tahun lalu.

Presiden Amanah Mohamad Sabu hari ini menegaskan pendekatan “khemah besar” dalam gabungan Pakatan Harapan (PH) adalah gabungan parti pembangkang dan tidak melibatkan parti-parti yang membentuk kerajaan bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Menurutnya, pendekatan “khemah besar” itu tidak boleh merangkumi parti gabungan Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN).

“Pendekatan ‘khemah besar’ tidak merangkumi penyatuan atau kerjasama dengan parti-parti yang berada di dalam kerajaan sama ada Umno, Bersatu atau PAS.

“Tidak mungkin PH akan bekerjasama dengan pengkhianat yang jelas mengkhianati amanah dan mandat rakyat,” katanya dalam sebuah kenyataan hari ini.

Mohamad turut mengatakan pengkhianat PH adalah mereka yang melompat untuk bersama Bersatu dan PN atas sebab tawaran yang dibuat ketika itu sambil menambah tidak wajar kumpulan yang melompat parti disamakan dengan mereka yang tidak melompat parti.

“Sepertimana tidak wajar kita anggap PKR sebagai parti pengkhianat atas sebab timbalan presidennya dan belasan ahli Parlimennya melompat, begitu juga adalah tidak wajar kita namakan Pejuang, Warisan dan Muda sebagai pengkhianat atas sebab pengkhianatan Muhyiddin dan Bersatu,” katanya merujuk pengerusi PN, Muhyiddin Yassin.

Bersatu bersama PH ketika meraih kemenangan pada PRU14 pada 2018 di mana BN berjaya ditumbangkan selepas enam dekat memimpin kerajaan.

Muhyiddin kemudiannya dilantik sebagai perdana menteri selepas Dr Mahathir Mohamad meletak jawatan.

Namun beliau terpaksa berundur selepas beberapa ahli Parlimen yang bersekutu dengan bekas perdana menteri Najib Razak dan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi menarik balik sokongan mereka terhadapnya di Dewan Rakyat.

Jawatan perdana menteri kemudiannya diambil alih oleh Naib Presiden Umno Ismail Sabri Yaakob yang memperolehi sokongan Muhyiddin dan ahli Parlimen Bersatu

Dalam pada itu, Mohamad turut berkata Amanah akan berusaha untuk memperbanyakkan kawan demi menghadapi lawan yang sama iaitu BN dan PN.

“Bagi yang membuat keputusan bahawa PRU15 tidak akan dimenangi, usaha sebegini sememangnya tidak perlu.

“Usaha untuk kalah adalah jauh lebih mudah dari berjuang untuk menang,” katanya.