- Iklan -
Berita

Kisah 2 darjat di pulau pelancongan Lumut

Kemiskinan dua generasi sebuah keluarga nelayan sukarkan mereka dapatkan bekalan asas, apatah lagi persiapan raya kelak.

Ahmad Mustakim Zulkifli
3 minit bacaan
Kongsi
Zarifah Ahamad mengemas kawasan rumah dan menyusun permainan anaknya di Teluk Muroh, Lumut.
Zarifah Ahamad mengemas kawasan rumah dan menyusun permainan anaknya di Teluk Muroh, Lumut.

Di Kampung Teluk Muroh di Lumut, Perak, tidak jauh daripada kemewahan dan keindahan pulau buatan manusia pertama Malaysia, Pulau Marina, ada kisah dua darjat yang tersimpan di pesisir pantai yang semakin hilang.

Ketika Pulau Marina menempatkan hotel-hotel besar dan menjadi tempat tumpuan percutian mewah, terdapat kedaifan hidup di Kampung Teluk Muroh.

Sejak 15 tahun lepas, rumah kayu beratap zink di kampung itu menjadi kediaman untuk Ramlah Ahmad dan keluarganya.

Di rumah itu, dia dan suami serta tujuh orang anaknya menumpang teduh.

Ramlah yang lahir di Beruas itu membesar di Pantai Remis.

Sebagai suri rumah, tugasnya membesarkan anak-anak sementara suami mencari rezeki sebagai nelayan.

Zarifah Ahamad membantu ibunya, Ramlah Ahmad, berjalan di ruang tamu rumah mereka.

Beberapa anaknya sudah berkahwin dan berpindah sementara yang lain tinggal berhampiran dalam kampung sama.

Memasuki usia 62 tahun, kesihatannya semakin merosot.

Dia terpaksa tidur di lantai berlapikkan tilam kerana tidak mampu untuk bergerak turun naik ke katil.

“Saya terkena bisul di beberapa bahagian tubuh yang memerlukan pembedahan.

“Ada sekali itu, bisul pecah sendiri dan saya tak jadi hendak ke hospital,” katanya kepada MalaysiaNow.

Masalah yang lebih melarat katanya ialah masalah urat saraf terutama di bahagian kaki.

Dia mengenakan minyak urut siang dan malam setiap hari bagi mengurangkan rasa sakit.

“Ubat dulu dapat dari hospital tapi sekarang saya guna ubat yang dibeli di farmasi sahaja.

“Hendak ke hospital pakai duit, hendak bedah pun perlukan duit” katanya.

Ramlah Ahmad duduk sambil menunggu anaknya menyiapkan hidangan makanan.

Dia dijaga anaknya, Zarifah Ahamad yang berusia 27 tahun dan seorang lagi menantunya.

Ramlah mengenakan pampers kerana tidak mampu berjalan ke tandas.

Dia hanya mampu mengesot atau dipapah oleh ahli keluarga lain untuk beralih tempat.

Seperti Ramlah, rumahnya juga turut dimamah usia.

Keadaan rumah yang daif itu sebelum ini membuatkan beberapa pihak yang baik hati menderma beberapa barangan keperluan kepada keluarganya seperti peti ais dan sofa.

Keluarga Ramlah juga sempat menerima beberapa bantuan semasa Covid-19 mengganas di negara tahun lalu.

Kesihatan wanita itu bukan satu-satunya cabaran yang dihadapinya.

Kemiskinan dan ketidaktentuan pendapatan turut menghurung hari-hari Ramlah.

Ramlah Ahmad termenung di tingkap rumahnya di Teluk Muroh, Lumut. Dia mengalami masalah saraf di bahagian kaki dan memerlukan sumbangan bagi perubatan dan keperluan asasnya.

Sepanjang tinggal di kampung itu, keluarganya dan penduduk kampung itu menikmati pemandangan laut di depan rumahnya.

Sejak beberapa tahun lalu kawasan laut di depan rumahnya ditambak untuk sebuah projek pembangunan.

Ia menyukarkan suaminya untuk meletakkan botnya.

Dia terpaksa mengalihkan botnya di sebuah lokasi yang agak jauh dari rumah.

Di sebabkan itu, beberapa tahun lalu enjin bot suaminya dicuri.

Suaminya kini menumpang kawan untuk ke laut.

Dengan musim yang tidak menentu serta kudrat yang semakin hilang, suaminya tidak mampu untuk turun setiap hari.

Pendapatannya juga tidak banyak malah tidak cukup untuk menampung keperluan keluarga itu.

Seorang anak Ramlah yang bekerja di kilang berhampiran turut menampung keperluan rumah tersebut dengan membayar bil api, air dan barangan keperluan lain, manakala seorang lagi baru dibedah berikutan masalah apendiks dan tidak mampu melakukan kerja-kerja berat.

Selain menjaga ibunya yang semakin uzur, Zarifah yang bekerja sebagai suri rumah itu turut menjaga anaknya yang masih kecil.

Dia yang tidak bekerja selepas tamat persekolahan menumpahkan bakti menjaga ibunya sehingga kini.

“Suami saya juga tumpang kawan ke laut. Kadang-kadang sebulan boleh dapat beberapa ratus, kadang hasilnya cukup untuk duit minyak sahaja,” katanya.

Dengan hasil yang sedikit itu, dia mampu membeli sedikit barangan asas untuk keluarganya dan keluarga ibunya namun ada masa pendapatannya terputus.

Zarifah dan suaminya menyewa di sebuah rumah di sebelah rumah ibunya dengan kadar RM100 sebulan.

Dengan tunggakan sudah beberapa bulan, dia hanya mengharapkan ihsan pemilik rumah untuk tidak menghalau keluarganya.

“Tuan rumah ini hendak jual rumah itu pada harga RM2,000 namun kami tidak mampu membeli lagi,” katanya.

Oleh sebab kedudukan rumah wanita itu yang berhampiran pantai, rumahnya dimasuki air ketika air laut pasang, sehingga dia boleh melihat haiwan laut seperti ikan, ketam bahkan ular dalam air yang bergenang di rumah tersebut.

Seperti ayahnya, suami Zarifah turut menumpang rakan untuk ke laut.

Sebelum itu, dia bekerja sebagai pengawal keselamatan namun kontraknya sudah tamat.

“Dahulu dia boleh mendapat sekitar RM1,000 sebulan, kini sebagai nelayan tidak menentu,” katanya.

Tiada persiapan yang mampu dibuatnya untuk menyambut raya.

Tiada baju baru, tiada kuih raya dan tiada juadah yang menyelerakan.

“Tengok orang lain beraya sahaja, baju pun ada lagi yang tahun-tahun lepas sebelum Covid-19. Keutamaan kami hendak beli barang asas,” katanya.

Ramlah turut memberitahu, Ramadan kali ini tidak ramai yang menyumbang berbanding pada tahun-tahun lalu.

Dia yang cuba memohon bantuan daripada agensi-agensi berkaitan berkata permohonan untuk mendapatkan bantuan ditolak atas alasan tidak layak.

Ramlah tidak berputus asa.

Meskipun keluarganya tidak mampu serba-serbi, dia tetap mahukan yang terbaik untuk anak-anaknya.