Pasukan pembelaan kes perbicaraan pengabaian dan penderaan remaja perempuan sindrom down dikenali sebagai Bella memberitahu mahkamah hari ini bahawa keterangan saksi pendakwaan yang menyebut Bella dipancut dan dicurah air panas adalah rekaan semata-mata.
Ini memandangkan penapis air di rumah tertuduh, Siti Bainun Ahd Razali rosak sejak Mac 2021.
Sedangkan tempoh penderaan terhadap remaja tersebut direkodkan berlaku antara Februari dan Jun 2021.
Peguam Nur A’minahtul Mardiah dalam sesi pemeriksaan balas terhadap saksi pendakwaan kelima Yasmin Nahar Mahmood berkata kenyataan saksi bahawa Bella diikat dengan tali dan dibaringkan sebelum dicurah air panas adalah pembohongan kepada mahkamah.
“Sebab itu, Siti Bainun kena bawa balik termos dari Rumah Bonda ke kondominium. Setuju?”
Yasmin di kandang saksi berkata tidak bersetuju dengan kenyataan tersebut.
A’minahtul berkata penapis air jenama Cuckoo itu rosak sejak 11 Mac 2021.
“Doktor kata, hanya ada dua kesan parut luka di kepala Bella. Itu pun pertama, kesan geseran sebab gatal mungkin Bella garu.
“Doktor tak ada kata ada kesan dripping (tumpahan) air. Jadi mana datang berita kena pancut, kena simbah air panas ni?,” soalnya.
“Saya nampak,” kata Yasmin.
Selain itu, pasukan pembelaan turut menafikan sekerasnya tuduhan saksi yang sama bahawa mangsa diberikan makan cili hampir setiap hari.
Kata A’minahtul, dari lima laporan perubatan terhadap mangsa, tiada satu pun laporan yang mengatakan Bella mengalami kerosakan di dalam perut dan melecur di lidah akibat makan makanan yang terlalu pedas.
Sedangkan, kata pembelaan, berikut merupakan kesan sampingan yang akan ketara sekiranya mangsa benar-benar diperlakukan sedemikian hampir setiap hari.
Bagaimanapun katanya, laporan perubatan tidak mengenalpasti kesan-kesan tersebut pada badan dan dalaman mangsa.
Tambah peguam itu lagi, kenyataan Yasmin mengenai paksaan makan cili juga tidak direkodkan dalam laporan dan keterangan kepada pihak polis.
“Ini penipuan kerana Bella memang tak pernah disuruh makan cili kerana laporan perubatan kata lidah Bella tidak melecur.”
Pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun, 30, tidak mengaku bersalah atas dua pertuduhan iaitu mengabai dan menganiaya remaja perempuan itu sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal serta emosi.
Pertuduhan terhadapnya adalah mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Selain itu, pasukan pembelaan turut mendakwa Yasmin menipu bahawa Bella diikat pada mulutnya hampir setiap hari bagi mengelakkan kegiatan dera oleh Siti Bainun diketahui oleh jiran tetangga.
Ketika sesi pemeriksaan balas, A’minahtul berkata tali untuk mengikat Bella langsung tidak dirampas pihak polis dan kenyataan tersebut juga tidak direkodkan semasa siasatan.
Atas sebab itu, pasukan pembelaan mengatakan kenyataan saksi sekadar rekaan dan cubaan menipu mahkamah kerana tiada kesan berat akibat ikatan dikenalpasti pada pipi dan mulut Bella.
“Yasmin tahu atau tidak, doktor kata tak ada kesan apa-apa pada pipi dan mulut Bella?
“Jadi, cerita Bella kena ikat mulut ini hanya rekaan dan penipuan. Setuju?”
“Tidak setuju,” jawab Yasmin.
Perbicaraan bersambung petang ini.