Pelakon terkenal Johnny Depp berkata beliau tidak pernah memukul bekas isterinya Amber Heard ketika memberi keterangan di mahkamah pada selasa, sekali gus mencabar pertuduhannya ke atasnya dalam kes saman fitnah AS$50 juta bagi membetulkan persepsi orang ramai dan membela anak-anaknya.
Bercakap dengan nada lembut dan perlahan selama hampir tiga jam di kamar mahkamah, Depp berkata beliau “sangat terkejut ” kira-kira enam tahun lalu apabila Heard mendakwa beliau bertindak ganas dalam hubungan mereka yang disifatkannya sebagai dakwaan “keji dan mengganggu”.
“Saya tidak pernah sampai ke tahap memukul Heard dalam apa cara sekalipun, dan saya juga tidak pernah memukul mana-mana wanita dalam hidup saya,” kata Depp.
“Saya rasa bertanggungjawab untuk pertahankan diri bahkan untuk membela anak-anak saya,” kata bintang “Pirates of the Caribbean” itu.
“Sangat pelik apabila suatu hari anda menjadi Cinderella, dan kemudian dalam jangka 0.6 saat anda jadi Quasimodo,” tambah Depp, yang dijangka kembali ke kandang saksi pada Rabu.
Depp, 58, mendakwa Heard, 35, memfitnah beliau melalui sebuah artikel yang diterbitkan Washington Post pada Disember 2018 di mana aktres wanita itu mendakwa telah menjadi mangsa penderaan domestik.
Ekoran penerbitan artikel itu, Depp memfailkan saman AS$50 juta terhadap Heard pada 2018.
Walaupun artikel itu tidak menyebut nama Depp, namun peguam Benjamin Chew memberitahu juri bahawa jelas Heard merujuk kepada aktor terkemuka Hollywood itu.
Peguam Heard bagaimanapun berhujah anak guamnya menyampaikan kebenaran dan pendapat dalam tulisannya itu dilindungi di bawah kebebasan bersuara Pindaan Pertama Perlembagaan AS.
Dalam hujah pembukaan, peguam Heard berkata Depp menyerangnya secara fizikal dan seksual ketika beliau di bawah pengaruh dadah dan alkohol.
Perbicaraan yang sudah berjalan selama dua minggu itu dijangka berlangsung selama enam minggu.
Pada Selasa, peguam Depp bertanya mengenai kerjaya filemnya dan interaksi awalnya dengan Heard ketika penggambaran filem 2011 “The Rum Diary.”
Depp menyifatkan Heard sebagai seorang yang manis, bijak dan kelakar ketika awal mengenalinya.
Pelakon itu juga turut memperincikan hubungan dan situasi perkahwinan ibu bapanya.
Depp berkata ibu bapanya sering bertengkar dan ibunya mendera anak-anak secara fizikal.
Depp berkata bapanya tidak pernah memukul ibunya secara fizikal namun pernah menumbuk dinding sebanyak tiga kali sehingga tangannya pernah patah.
Menurut Depp, bapanya meninggalkan keluarga ketika beliau berusia 15 tahun.
Depp turut berkata beliau pernah “mengambil pelbagai jenis dadah”.
Namun, katanya, beliau menjadi ketagih selepas cedera ketika penggambaran keempat “Pirates of the Caribbean” namun berjaya pulih daripada ketagihan tersebut.
Depp berkata Heard “menokok tambah” mengenai tabiat penggunaan dadahnya.
“Sebahagian besar tuduhan itu adalah palsu,” katanya. “Saya fikir ia adalah sasaran mudah untuk menyerang saya.”
Ketika Depp memberikan keterangannya, Heard sekadar memerhatikan sambil mencatat nota.
Kurang dua tahun lalu, Depp kalah dalam kes saman fitnah terhadap The Sun, sebuah tabloid Britain yang melabelnya sebagai “pemukul isteri.”
Seorang hakim Mahkamah Tinggi London memutuskan beliau telah berulang kali menyerang Heard dan menyebabkan wanita itu takut mengenai keselamatan nyawanya.
Dalam kes saman di AS, Depp dan Heard menyerahkan senarai panjang saksi yang boleh dipanggil, termasuk bekas teman lelaki Heard dan Ketua Eksekutif Tesla Elon Musk dan pelakon James Franco.
Peguam Depp berkata mereka memfailkan kes itu di Fairfax County, di luar Daerah Columbia, kerana Washington Post dicetak di sana.
Bagaimanapun, The Washington Post tidak dinamakan sebagai defendan dalam kes itu.
Heard, yang terkenal dengan peranan dalam “Aquaman” dan “Justice League,” turut mengemukakan saman fitnah terhadap Depp, mengatakan lelaki itu memburuk-burukkannya kerana menggelarnya sebagai penipu.
Tuntutan balas Heard yang menuntut ganti rugi AS$100 juta itu akan diputuskan sebagai sebahagian daripada perbicaraan.