- Iklan -
Berita

Lebih 500 tahanan larikan diri dari depoh imigresen Pulau Pinang

Seramai 362 daripada tahanan yang melarikan diri berjaya ditahan semula setakat 10 pagi tadi.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Antara etnik Rohingya yang ditahan semula di kawasan Lebuh Raya Utara-Selatan. Gambar: Facebook Bernama TV
Antara etnik Rohingya yang ditahan semula di kawasan Lebuh Raya Utara-Selatan. Gambar: Facebook Bernama TV

Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) hari ini mengumumkan seramai 362 orang dari 528 tahanan etnik Rohingya yang melarikan diri dari depoh sementara Sungai Bakap berjaya ditahan semula setakat 10 pagi ini.

Dalam sebuah kenyataan, Ketua Pengarah Imigresesn Khairul Dzaimee Daud berkata kejadian pada pukul 4.30 pagi tadi berlaku selepas tahanan memecahkan pintu blok dan gril penghadang.

“Pegawai-pegawai bertugas mengaktifkan SOP dengan menghubungi polis dan agensi berkaitan bagi mendapatkan bantuan.

“Gerakan mencari dan menangkap tahanan yang lari sedang giat dijalankan dengan kerjasama polis, Rela dan orang ramai,” katanya sambil menambah 362 daripada mereka berjaya ditahan semula.

Sementara itu, Ketua Polis Pulau Pinang Mohd Shuhaily Mohd Zain mengesahkan enam tahanan yang melarikan diri telah meninggal dunia dalam kemalangan di Lebuhraya Utara-Selatan (menghala ke selatan).

“Sebaik berlaku kemalangan sehingga menyebabkan enam warga asing tersebut maut, sekumpulan 229 warga asing yang melarikan diri ke lebuh raya itu mengambil keputusan untuk tidak melintas lebuh raya tersebut kerana bimbang turut terlibat dalam kemalangan.

“Mereka bertindak menyusuri tepi jalan (lebuh raya) itu. Mereka sendiri tidak tahu ke mana destinasi yang mahu dituju sebaik melarikan diri dari depot tersebut,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian hari ini.

Shuhaily berkata orang ramai yang menyedari kejadian itu telah menghubungi polis dan polis menahan semua warga asing itu yang terdiri daripada kanak-kanak sehingga warga emas.

Dalam pada itu, Dzaimee memohon supaya orang ramai memaklumkan kepada JIM atau polis jika mengetahui maklumat mengenai tahanan yang melarikan diri.