- Iklan -
Berita

PRS namakan Joseph Salang sebagai presiden baru

Naib Presiden PRS John Sikie Tayai setuju untuk menerima jawatan lebih rendah bagi memberi laluan kepada Joseph.

Nur Shazreena Ali
2 minit bacaan
Kongsi
Timbalan Presiden Parti Rakyat Sarawak Joseph Salang (kanan) menerima manifesto Gabungan Parti Sarawak dari Pengerusi GPS Abang Johari Openg menjelang PRN Sarawak Disember tahun lalu. Gambar: Bernama
Timbalan Presiden Parti Rakyat Sarawak Joseph Salang (kanan) menerima manifesto Gabungan Parti Sarawak dari Pengerusi GPS Abang Johari Openg menjelang PRN Sarawak Disember tahun lalu. Gambar: Bernama

Parti Rakyat Sarawak (PRS) hari ini mengumumkan ia mencapai kata sepakat mengenai presiden baru bagi mengetuai parti, menamatkan spekulasi mengenai siapa yang akan mengambil alih kepimpinan susulan kematian James Jemut Masing tahun lalu.

Bercakap pada sidang media di Kuching, Setiausaha Agung PRS Janang Bungsu berkata pemangku jawatan itu, Joseph Salang akan dilantik sebagai presiden sementara Naib Presiden John Sikie Tayai bersetuju menerima jawatan yang lebih rendah.

Janang berkata kedua-dua pemimpin telah menunjukkan jiwa yang besar di atas persetujuan yang dicapai bersama hari ini.

“Sikie Tayai mempamerkan sikap negarawan yang terpuji dengan menawarkan dirinya untuk menerima jawatan lebih rendah dalam barisan kepimpinan walaupun menerima banyak pencalonan untuk menjadi presiden parti,” katanya.

“Demi partinya, Salang bersetuju untuk kekal memegang jawatan presiden bagi mengekalkan kestabilan parti.”

Pemimpin PRS, Masing, meninggal dunia pada 31 Oktober tahun lalu.

Kematian beliau menyebabkan kelompongan kuasa dalam parti itu di mana penganalisis memberi amaran jawatan presiden perlu segera diisi.

Dalam pada itu, Salang berkata beliau hanya akan memikul tanggungjawab pemimpin parti bagi tempoh sementara.

Bercakap hari ini, Janang berkata persetujuan tersebut akan dapat membantu mengekalkan solidariti dalam parti berikutan perbincangan mengenai pertelagahan dalaman dan perebutan kuasa dalam kalangan pemimpin PRS.

“Kepimpinan PRS sedar kesan buruk kepada Gabungan Parti Sarawak jika mereka tidak menguruskan konflik dalaman parti,” katanya.

“Imej PRS dalam kalangan rakyat turut terjejas, begitu juga imej kepimpinan politik Dayak.”

Janang turut berkata Majlis Tertinggi parti itu bersetuju untuk tidak mengadakan pemilihan parti pada persidangan perwakilan tiga tahun sekali (TDC) parti itu di Sibu hujung minggu ini.

“Demi kepentingan kesatuan dan perpaduan dalam PRS, para pemimpin bersetuju dengan barisan kepimpinan yang disepakati bersama, di mana ia menjadikan pilihan raya di TDC tidak lagi perlu diadakan,” katanya.

“Kesepakatan ini hanya dapat dicapai selepas pengorbanan kepentingan peribadi yang besar dilakukan kedua-dua pihak Sikie Tayai dan Salang.”

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.