- Iklan -
Berita

PAS ulangi tiada kerjasama dengan PH pada PRU15

Abdul Hadi Awang berkata PAS akan kekal dalam Perikatan Nasional yang menganggotai kerajaan ketika ini.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Presiden PAS Abdul Hadi Awang.
Presiden PAS Abdul Hadi Awang.

Presiden PAS Abdul Hadi Awang berkata parti itu tidak akan sesekali bekerjasama dengan idea “khemah besar” Pakatan Harapan (PH) bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), mengatakan PAS akan kekal dalam gabungan Perikatan Nasional (PN) yang merupakan sebahagian kerajaan ketika ini.

Menurut ahli Parlimen Marang itu, hubungan kerjasama antara mereka dengan gabungan pembangkang itu sudah lama berakhir dan tidak akan berulang kembali.

“Kenyataan setiausaha agung (tiada sebarang kerjasama) sudah cukup. Kita masih kerjasama dengan PN… kerjasama dengan PN, kerjasama dengan kerajaan.

“Tak ada (kerjasama dengan PH)… tak berlaku,” katanya kepada media di Marang, Terengganu hari ini.

Pada 18 April lalu, PAS dalam satu kenyataan, memaklumkan parti itu menolak sebarang cadangan untuk bekerjasama dengan PH pada PRU15 akan datang.

Dalam kenyataan tersebut, Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan turut menggesa supaya gabungan politik kerajaan diperkuatkan, menegaskan tiada kerjasama dengan parti pembangkang “khususnya PH”.

Dalam pada itu, pemimpin PH termasuk Presiden Amanah Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP Anthony Loke menegaskan pendekatan “khemah besar” pembangkang itu tidak akan memasukkan PN.

Walaupun pemimpin utama PH menegaskan pendirian menolak cadangan bekerjasama dengan PN, namun Naib Presiden PH Salahuddin Ayub dilihat lebih terbuka dan mahu kerjasama diperluaskan dan menggesa pembangkang memaafkan dan melupakan “perkara lalu” yang berlaku antara mereka.

“Kalau kita berjaya satukan pembangkang dengan satu persefahaman, ini akan menyebabkan kita akan mampu menang pada PRU15 nanti.

“Kita boleh berbincang sekarang, untuk bertemu kita buka pintu kita seluas-luasnya dan keputusan tidak perlu dibuat ketika ini.”

Ketika menjadi pembangkang selepas kemenangan PH pada PRU 2018, PAS memeterai Muafakat Nasional dengan Umno.

Namun parti Islam itu kemudiannya bertindak menyertai PN yang diketuai Bersatu selepas gabungan dipimpin Muhyiddin Yassin itu menjadi kerajaan.

Hadi turut berkata PAS pernah bekerjasama selama 20 tahun dengan parti-parti dalam PH, dan tempoh itu sudah memadai.

“Biasanya kerjasama politik (yang berakhir) tidak akan berulang,” katanya.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.