- Iklan -
Berita

PN tak termasuk dalam ‘khemah besar’, kata DAP selepas pemimpin Amanah bertembung

Anthony Loke berkata Perikatan Nasional adalah sebahagian daripada kerajaan hari ini.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Kibaran bendera Perikatan Nasional ketika PRN Melaka November tahun lalu.
Kibaran bendera Perikatan Nasional ketika PRN Melaka November tahun lalu.

DAP hari ini berkata persoalan berhubung kerjasama antara Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tidak timbul kerana gabungan dipimpin Bersatu itu adalah sebahagian daripada kerajaan ketika ini.

Setiausaha Agung DAP Anthony Loke berkata strategi “khemah besar” yang dipersetujui dalam Resolusi Port Dickson merujuk kepada kerjasama dalam blok pembangkang.

“Semua pihak dalam PH perlu menyedari bahawa adalah amat sukar kerjasama dengan PN dapat dijalin dengan latar belakang sejarah hitam yang pernah kami lalui dengan parti-parti komponen dalam PN,” katanya dalam sebuah kenyataan memberikan respons kepada kenyataan Naib Presiden PH Salahuddin ayub.

Semalam, Salahuddin berkata pemimpin pembangkang perlu memaafkan dan melupakan perkara lalu bagi merealisasikan agenda khemah besar sebagai persediaan menghadapi PRU15.

Timbalan presiden Amanah itu turut berkata pembangkang perlu adakan satu persefahaman untuk memastikan keampuhan dalam berdepan Barisan Nasional (BN) sambil turut berkata perbincangan antara PH, Bersatu dan PAS perlu diadakan lebih awal.

“Jadi kita perlu duduk semeja fikirkan mengenai kesepakatan satu lawan satu daripada berpecah-belah.

“Kita boleh berbincang sekarang, untuk bertemu kita buka pintu kita seluas-luasnya dan keputusan tidak perlu dibuat ketika ini.”

Salahuddin dilihat menyanggah pendirian Presiden Amanah Mohamad Sabu yang menolak untuk menjalin kerjasama dengan Bersatu dan PAS dalam pendekatan “khemah besar” pembangkang.

“Pendekatan ‘khemah besar’ tidak merangkumi penyatuan atau kerjasama dengan parti-parti yang berada di dalam kerajaan sama ada Umno, Bersatu atau PAS.

“Tidak mungkin PH akan bekerjasama dengan pengkhianat yang jelas mengkhianati amanah dan mandat rakyat,” katanya.

Dalam pada itu, Loke berkata pendirian Salahuddin tersebut adalah pandangan peribadi dan tidak pernah diputuskan dalam Majlis Presiden PH.

Loke turut menggesa semua pimpinan PH membincangkan sebarang pandangan berkenaan kerjasama politik dengan pihak lain dalam mesyuarat Majlis Presiden PH dan bukannya melalui kenyataan terbuka untuk memastikan tidak ada kekeliruan di kalangan ahli dan penyokong.

“Segala keputusan mengenai hala tuju dan kerjasama di luar kerangka PH mesti diputuskan secara bersama oleh Majlis Presiden PH.”