- Iklan -
Berita

Taikun Britain, individu ternama rayu Singapura beri pengampunan kepada Nagaenthran

Mereka berkata hukuman mati Nagaenthran akan membayangi banyak usaha Singapura yang 'sentiasa terkehadapan' dalam isu hak orang kurang upaya.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Aktivis mengangkat gambar Nagaenthran K Dharmalingam dalam himpunan penyerahan memorandum di Parlimen.
Aktivis mengangkat gambar Nagaenthran K Dharmalingam dalam himpunan penyerahan memorandum di Parlimen.

Bilionair Britain Richard Branson hari ini berganding bahu dengan aktor Stephen Fry dan aktivis hak orang kurang upaya (OKU) Timothy Shriver dalam usaha merayu agar kerajaan Singapura menunjukkan belas kasihan kepada Nagaenthran K Dharmalingam menjelang hukuman matinya yang akan dilaksanakan di republik itu.

Dalam sebuah video yang ditujukan kepada Presiden Singapura Halimah Yacob dan Perdana Menteri Lee Hsien Loong, mereka bertiga menggesa supaya nyawa banduan bilik akhir itu diselamatkan, di mana Branson memberi amaran pelaksanaan hukuman itu akan menjejaskan reputasi perniagaan di Singapura.

“Singapura sentiasa terkehadapan apabila melibatkan hak OKU dan turut mendahului banyak negara dalam usaha melibatkan golongan itu dalam kehidupan bermasyarakat,” katanya.

Sementara itu, Fry berkata pelaksanaan hukuman mati terhadap Nagaenthran akan “membayangi banyak usaha yang sudah dilakukan (Singapura)”.

“Ia adalah satu risiko besar bagi kedudukan negara anda di peringkat antarabangsa – termasuk reputasinya dalam dunia perniagaan,” tambah Branson.

Sebelum ini, Branson sudah dua kali menyuarakan pandangannya yang menentang pelaksanaan hukuman mati ke atas Nagaenthran ekoran sabitan bersalah menyeludup sejumlah kecil heroin ke Singapura.

Pada 8 November tahun lalu, beliau berkata sabitan Nagaenthran hanyalah salah satu contoh kes di mana golongan miskin dipaksa menyeludup dadah bagi mencari nafkah sekali gus menanggung “akibat yang membawa maut” sementara dalang sebenar terus mengembangkan perniagaan haram yang menguntungkan mereka.

Pada Januari, Branson turut memberikan respons kepada surat panjang daripada kementerian dalam negeri Singapura berhubung kritikannya.

Beliau menegaskan kerajaan Singapura “mungkin akan menjadi sangat bagus dengan bertindak menghapuskan sama sekali hukuman mati.”

Nagaenthran dijadualkan menjalani hukuman gantung pada 27 April selepas beberapa kali gagal dalam percubaannya untuk menghentikan hukuman mati yang diputuskan mahkamah pada 2010.

Penyokong berkata Nagaenthran mempunyai skor IQ sebanyak 69 – yang membolehkannya diisytihar sebagai OKU mental – dipaksa melakukan jenayah itu.

Sebelumnya, banduan warga Malaysia itu dijadualkan menjalani hukuman gantung sampai mati pada November tahun lalu, namun keputusan tersebut mengundang kecaman ekoran status Nagaenthran sebagai OKU mental, di mana Kesatuan Eropah (EU) dan Branson antara yang mengecam keputusan itu.

Pemimpin Malaysia termasuk Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah dan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob turut menulis surat kepada kerajaan Singapura memohon supaya keringanan hukuman diberikan kepada Nagaenthran.

Petisyen pengampunan Nagaenthran yang terakhir turut ditolak pada 31 Mac lalu, dua hari selepas Mahkamah Rayuan menolak rayuan bagi hukuman matinya.

Shriver, yang merupakan pengerusi Sukan Olimpik Khas, sebuah pertubuhan sukan terbesar di dunia bagi OKU mental dan fizikal dalam kalangan kanak-kanak dan dewasa, berkata mata dunia kini tertumpu kepada Singapura.

“Hanya pengampunan presiden dapat menghentikan pelaksanaan hukumannya,” tambah Branson.

“Saya bersama ramai orang di seluruh dunia memohon pihak anda menggunakan kuasa yang ada bagi memberikan pengampunan kepada Nagaenthran.”

Setakat ini, lebih 100,000 orang menandatangani petisyen yang menggesa Halimah memberikan pengampunan kepada Nagaenthran.

Kumpulan undang-undang yang berpangkalan di United Kindom, Reprieve berkata kes Nagaenthran telah mencetuskan “satu tahap penentangan yang tidak pernah berlaku sebelum ini” berhubung hukuman mati.

“Membunuh seseorang yang jelas tidak mempunyai keupayaan mental secara langsung akan menjejaskan usaha Singapura dalam memperjuangkan hak OKU,” kata pengarahnya Maya Foa.

“Presiden Halimah, kami mohon jangan nafikan ruang untuk Nagaenthran mendapat belas kasihan dan solidariti yang ditunjukkan oleh kerajaan anda kepada golongan OKU sepertinya.

“Berikan pengampunan kepadanya atau pindahkannya ke Malaysia, di mana dia boleh menerima sokongan keluarga selain mendapat penjagaan berikutan tahap mentalnya yang semakin merosot.”

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.