- Iklan -
Berita

Ibu failkan rayuan dalam usaha akhir selamatkan Nagaenthran di mahkamah Singapura

Panchalai Supermaniam akan hadir sendiri di mahkamah selepas tidak berjaya mendapatkan peguam bagi mewakili anaknya.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Penyokong berkumpul di hadapan Suruhanjaya Tinggi Singapura di Kuala Lumpur hujung minggu lalu bagi membantah pelaksanaan hukuman mati terhadap Nagaenthran K Dharmalingam.
Penyokong berkumpul di hadapan Suruhanjaya Tinggi Singapura di Kuala Lumpur hujung minggu lalu bagi membantah pelaksanaan hukuman mati terhadap Nagaenthran K Dharmalingam.

Dalam usaha terakhir menyelamatkan anaknya daripada tali gantung, ibu Nagaenthran K Dharmalingam memfailkan usul jenayah di Mahkamah Rayuan Singapura sekali gus akan hadir pada prosiding esok, sehari sebelum banduan bilik akhir itu dijadualkan menjalani hukuman mati.

Peguam hak asasi terkemuka Singapura M Ravi berkata Panchalai Supermaniam akan hadir sendiri kerana tidak berjaya mendapatkan khidmat peguam untuk mewakili Nagaenthran.

Dalam sebuah hantaran Facebook, beliau berkata usul untuk mencabar keabsahan penghakiman sebelum ini atas alasan konflik kepentingan itu akan didengar pada pukul 2.30 petang esok.

“Peguam bimbang dengan tindakan balas dari mahkamah, kerana itu mereka enggan mewakili Nagaentran,” katanya.

Dalam pada itu, kumpulan hak asasi Lawyers for Liberty (LFL) berkata ia langkah itu akan menjadi cabaran undang-undang terakhir Nagaentran bagi mengenepikan sabitan dan hukuman matinya.

“Ibu Nagaentran tidak berjaya mendapatkan khidmat peguam di Singapura bagi memfailkan cabaran undang-undang tersebut, maka dia sendiri memfailkan usul jenayah di mahkamah, tanpa bantuan mana-mana firma guaman. Dia melakukannya dengan bantuan rakan dan aktivis,” kata Ketua Penyelaras LFL, Zaid Malek.

“Sudah semakin sukar untuk mendapatkan khidmat peguam di Singapura bagi memfailkan cabaran undang-undang sedemikian kerana peguam sering dikenakan tindakan dan didenda oleh Jabatan Peguam Negara dan badan kehakiman kerana berbuat demikian, ini menyebabkan Panchalai terpaksa memfailkan sendiri kes itu di pejabat pendaftaran mahkamah.”

Cabaran undang-undang itu diambil berdasarkan alasan hakim yang mengetuai dan menolak rayuan Nagaenthran – iaitu Sundaresh Menon – juga merupakan peguam negara yang mendakwa Nagaenthran dan menyebabkan sabitan kesalahannya.

“Ia adalah satu penafian yang jelas terhadap perbicaraan yang adil dan tidak pernah didengar dalam sistem kehakiman Komanwel,” tambah Zaid.

Nagaenthran dijadualkan menjalani hukuman gantung sampai mati pada 27 April ini selepas gagal beberapa kali dalam percubaan menghentikan hukuman mati yang dijatuhkan pada 2010 bagi kesalahan menyeludup sejumlah kecil heroin ke Singapura.

Penyokong berkata Nagaenthran yang mempunyai skor IQ sebanyak 69 – tahap yang membolehkannya diisytihar sebagai orang kurang upaya (OKU) mental – dipaksa melakukan jenayah tersebut.

Sebelumnya, Nagaenthran dijadualkan menjalani hukuman itu pada November tahun lalu, namun keputusan itu mencetuskan kritikan antarabangsa berikutan statusnya sebagai OKU.

Kesatuan Eropah dan taikun Britain Richard Branson adalah antara yang mengecam keputusan mahkamah tersebut.

Pemimpin kerajaan Malaysia termasuk Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah dan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob turut menulis surat kepada kerajaan Singapura memohon supaya hukuman terhadapa Nagaenthran diringankan.

Petisyen terbaru pengampunan bagi Nagaenthran turut ditolak pada 31 Mac, dua hari selepas Mahkamah Rayuan menolak rayuan terhadap hukuman matinya.