- Iklan -
Berita

Kuasa RoS sudah cukup untuk kawal selia NGO, kata peguam

Sehingga satu tempoh masa tertentu, terdapat pihak yang akan cuba lari daripada kekangan undang-undang dan melakukan jenayah.

Nur Hasliza Mohd Salleh
3 minit bacaan
Kongsi
Beberapa aktivis dan sukarelawan mengangkat barang keperluan untuk disumbangkan kepada mangsa-mangsa banjir di Jerantut awal tahun ini.
Beberapa aktivis dan sukarelawan mengangkat barang keperluan untuk disumbangkan kepada mangsa-mangsa banjir di Jerantut awal tahun ini.

Seorang peguam kanan memberitahu tiada keperluan untuk merangka dan mencipta undang-undang baru bagi mengawal selia aktiviti badan bukan kerajaan (NGO) atau pertubuhan dengan mengatakan penggubalan undang-undang dan peraturan baru bukanlah penyelesaian kepada masalah sedia ada.

Ini susulan desakan orang ramai yang meminta diwujudkan satu undang-undang khusus untuk memastikan setiap pertubuhan berdaftar di bawah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) tidak boleh menjalankan kegiatan yang disyaki berunsur jenayah dan melanggar hak asasi manusia seperti penderaan dan eksploitasi.

Haniff Khatri Abdulla berkata, ini memandangkan setiap undang-undang selepas melepasi satu tempoh tertentu, terdapat segelintir pihak yang akan berusaha mencari jalan untuk lari daripada kekangan undang-undang tersebut.

Katanya, dahulu orang ramai mungkin memilih mendaftarkan NGO sebagai satu gerakan untuk mengembangkan idea dan falsafah mereka kerana percaya kerajaan tidak akan bantu mencapai matlamat mereka.

Tetapi, masa berlalu dan terdapat pihak lain yang mungkin mendapat cadangan, mengapa tidak tubuhkan sahaja sekumpulan aktivis dan didaftarkan sebagai NGO untuk buat program yang menyalahi undang-undang seperti penyelewengan kutipan dana dan sebagainya.

“Adakah itu bermaksud, oleh kerana itu kita kena rangka satu undang-undang untuk kawal selia NGO? Tidak.

“Kita kena kawal selia orang jahat,” katanya kepada MalaysiaNow dan menambah Malaysia sudah mempunyai undang-undang selia jenayah yang mencukupi untuk menangani kes penipuan, aktiviti pengubahan wang haram dan lain-lain.

Sejak tahun lalu, pelbagai pendedahan dilakukan terhadap kegiatan NGO termasuk kes penderaan yang dilakukan kepada remaja sindrom down dikenali sebagai Bella yang kini sedang berdepan perbicaraan di mahkamah.

Lebih mengejutkan, ketika isu tersebut hangat diperkatakan, pusat penjagaan di bawah seliaan tertuduh Siti Bainun Ahd Razali sebenarnya tidak mempunyai lesen.

Pengasas bersama pusat jagaan yang dikenali sebagai Rumah Bonda itu juga merupakan seorang aktivis kanak-kanak tersohor, Syed Azmi Alhabshee.

Selain itu, beberapa siri pendedahan yang menyentuh kegiatan NGO sebagai lubuk wang kerana menjadi sasaran pihak tertentu untuk mengaut keuntungan berikutan polisi RoS yang yang membenarkan mana-mana pertubuhan mengutip dana untuk mengambil sehingga 30% jumlah kutipan untuk kos pentadbiran.

Disebabkan perbuatan itu tidak menyalahi undang-undang, maka tidak hairan ramai pihak sangat obses dalam menubuhkan NGO dan aktif membuat kutipan dana awam atas tiket “kebajikan” dan “kemanusiaan”.

Bagaimanapun, Haniff berpandangan sebaliknya.

Katanya, kewujudan RoS sebagai badan yang menyelia pendaftaran pertubuhan sudah cukup untuk mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak yang didapati melakukan jenayah.

Apa yang menjadi masalah adalah apabila tanggapan negatif masyarakat yang menganggap RoS kononnya tidak akan mengambil sebarang tindakan.

“Jika masyarakat mendapati ada NGO membuat penipuan kepada rakyat, kenapa tak laporan kepada RoS? Laporkan.

“RoS mempunyai kuasa ke atas semua badan yang didaftarkan melalui RoS untuk mereka menyelia dan bila perlu, untuk mengambil tindakan.

“Tapi, kalau nak kata mereka tak kawal selia (NGO), sebenarnya tidak tepat.”

Ketika ditanya, apakah punca yang mengakibatkan pertubuhan dan NGO lari daripada paksi perjuangan mereka, Haniff dengan pantas menjawab ianya berpunca daripada segelintir pemimpin politik sendiri yang mencari jalan untuk mengeksploitasi sesebuah pertubuhan.

“Jangan kita lupa banyak kes yayasan-yayasan ditubuhkan oleh para pemimpin. Apa tujuan ditubuhkan yayasan?

“Adakah itu untuk wang haram, gubah wang haram? Atau untuk menerima rasuah atau adakah ianya untuk mencuci rasuah.

“Bukan kita nak tuduh, tapi kalau yayasan dibuat bukan untuk membantu masyarakat, tetapi untuk kegunaan diri sendiri. Bukankah itu penyalahgunaan oleh pihak-pihak pemimpin sendiri?”

Sebagai contoh Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi kini berdepan 47 pertuduhan membabitkan pecah amanah (CBT), rasuah dan pengubahan wang haram berkaitan dana Yayasan Akalbudi.

Beliau diarah membela diri terhadap semua pertuduhan tersebut pada 13 April lalu di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.