- Iklan -
Berita

Apabila tradisi perayaan menjadi semakin mahal

Ramai warga kota yang mungkin tidak mampu membeli persiapan Hari Raya Aidilfitri yang semakin hampir.

Ahmad Mustakim Zulkifli
2 minit bacaan
Kongsi
Seorang wanita berjalan mencari keperluan raya di Bazar Aidilfitri di Jalan Tunku Abdul Rahman di Kuala Lumour.
Seorang wanita berjalan mencari keperluan raya di Bazar Aidilfitri di Jalan Tunku Abdul Rahman di Kuala Lumour.

Ketika Ramadan menghampiri garisan penamat, Muslim di seluruh negara mula tertumpu dengan persiapan Hari Raya Aidilfitri, satu perayaan yang disambut meriah selepas sebulan berpuasa.

Tempat-tempat seperti pasar Aidilfitri di Jalan Tuanku Abdul Rahman akan sesak dengan lautan pengunjung, di mana mereka mencari pakaian tradisi seperti baju Melayu, songkok, samping, baju kurung atau barangan lain untuk persiapan hari perayaan.

Namun ada yang terpaksa pulang dengan kekecewaan apabila melihat tanda harga yang mahal terpampang di gerai.

Pengarah Jabatan Kajian Kenegaraan dan Ketamadunan Universiti Putra Malaysia, Zaid Ahmad berkata “kos” untuk meraikan tradisi sendiri tetap tertakluk kepada rukun permintaan dan penawaran.

“Dari satu sudut, kelihatan ada kecenderungan untuk masyarakat kembali menghargai tradisi dan ini merupakan fenomena sosial,” katanya kepada MalaysiaNow.

“Mereka yang ingin meraikan ini ialah pengguna yang mengikut trend dan sudah tentu peniaga menganggap ini satu peluang untuk mereka.”

Tinjauan MalaysiaNow di beberapa bazar dan pusat beli-belah di sekitar ibu kota mendapati harga sepasang baju Melayu berharga antara RM99 hingga RM150, manakala sebalang kuih raya dijual antara RM20 hingga RM30.

Manakala kain samping pula dijual bermula RM70 dan boleh mencecah ribuan ringgit, bergantung kepada mutu dan kualiti songket.

Pada musim bukan perayaan harganya tidak akan mencapai setinggi itu.

Menurut Zaid, ketika harga sedang memuncak, golongan yang kurang bernasib baik tidak akan mampu meraikan tradisi mereka sendiri, ekoran kekurangan wang untuk belanja.

“Terutama mereka yang berpendapatan kecil dan mempunyai keluarga besar dan empat ke lima orang anak, memang membebankan untuk meraikan tradisi kerana tidak mampu,” katanya.

Beliau berkata, harga akan kembali turun selepas musim perayaan tamat.

Bagaimanapun, beliau berharap agar peniaga bertimbang rasa dalam mengenakan harga terutama kepada barangan keperluan asas.

Katanya, tahun ini juga sentimen Hari Raya lebih kuat kerana rakyat Malaysia sudah dua tahun tidak dapat beraya akibat sekatan perjalanan dan larangan rentas negeri.

Sejak dua tahun lalu, hampir kesemua acara perayaan dan keagamaan tidak disambut seperti biasa kerana ingin menjaga prosedur operasi standard (SOP) Covid-19.

Namun ada juga perbuatan yang walaupun tidak dikira tradisi dalam erti kata sebenar, ia diamalkan oleh kebanyakan orang yang mana mungkin meningkatkan kos ketika musim perayaan.

Antaranya, menukar barangan dalam rumah seperti langsir dan perabot dengan yang baru.

Ia sekali gus meningkatkan kos dan beban kewangan keluarga sekiranya tidak dirancang dengan baik.

Orang ramai boleh memilih pilihan lebih murah seperti membersih, mencuci atau membaiki barangan tersebut, bagi menjimatkan kos.

Dalam melihat harga barangan yang meroket naik ketika musim perayaan, Zaid pula berkata orang Melayu masih boleh menyambung tradisi balik kampung di Malaysia, kerana kerajaan masih melaksanakan pemberian subsidi minyak.

“Bulan Ramadhan ini pun ada yang balik untuk sambut hari-hari terakhir puasa sebelum tiba Syawal.

“Jika tiada subsidi ini memang ramai tak mampu balik raya.

“Kita masih boleh menampung kos tradisi balik kampung kerana subsidi ini,” katanya.