- Iklan -
Berita

Kajian dapati 1 dari 2 rakyat Malaysia pilih kekal bekerja walaupun bergaji rendah

Walaupun rakyat Malaysia mahu mendapatkan pendapatan lebih, namun faktor seperti keselamatan pekerjaan, masa dan komitmen turut menjadi faktor pertimbangan.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Orang ramai meredah hujan di Bukit Bintang, Kuala Lumpur.
Orang ramai meredah hujan di Bukit Bintang, Kuala Lumpur.

Hampir separuh daripada rakyat Malaysia yang menjadi responden dalam tinjauan baru-baru ini tidak merancang untuk meninggalkan kerja walaupun satu daripada enam berpendapat mereka tidak dibayar gaji yang cukup atau tidak pasti jika dibayar mengikut harga pasaran.

Kajian Kepuasan Pendapatan iMoney Malaysia 2022 menunjukkan 46.3% rakyat Malaysia tiada rancangan untuk meninggalkan majikan dalam “masa yang terdekat” walaupun 57.7% daripada jumlah tersebut berpendapat tidak dibayar gaji yang cukup.

Kajian tersebut turut mendapati 28.1% pekerja mempunyai pekerjaan sampingan walaupun berasa dibayar gaji rendah dengan 44.8% berkata mereka mempunyai kerja sampingan sebagai pelan sandaran kewangan.

Selain itu, 22.2% berkata mereka membuat kerja sampingan untuk mencukupkan perbelanjaan keperluan sementara 24.3% lagi berkata ia dilakukan sebagai hobi.

Dalam pada itu, 8.7% berkata mereka melakukan kerja sampingan untuk menyimpan wang.

Kajian tersebut turut mendapati 59.8% responden berkata mereka lebih memilih bekerja dari rumah di mana kebanyakannya memberikan alasan waktu dan wang dapat dijimatkan berbanding keluar ke tempat kerja.

Hanya 25.1% atau suku daripada keseluruhan responden berkata bekerja dari rumah adalah lebih produktif berbanding ke tempat kerja.

Bagaimanapun, 73% responden pula tidak mahu gaji mereka ditolak hanya untuk bekerja dari rumah.

“Ini mungkin menandakan beberapa perkara, rakyat Malaysia masih mementingkan gaji berbanding keseimbangan kehidupan bekerja dan kemudahan pekerjaan,” kata iMoney dalam sebuah kenyataan.

Ia turut menambah, hasil kajian itu juga menunjukkan rakyat Malaysia percaya mereka sepatutnya dibayar gaji berdasarkan prestasi kerja, tanpa mengira cara bekerja.

Merujuk kajian itu, Ketua Pengarah Eksekutif iMoney See Wai Hun berkata tiada perancangan untuk menukar kerja “dalam masa yang terdekat” walaupun dibayar gaji yang rendah berpunca daripada beberapa faktor.

“Yang pertama, kebanyakan rakyat Malaysia yang kami kaji lebih mementingkan beberapa faktor berbanding faktor jumlah gaji mereka. Ini termasuklah kemudahan untuk bekerja dari rumah dan juga jaminan pekerjaan.

“Yang kedua, kos sara hidup dan komitmen kewangan yang semakin bertambah mungkin menjadi penyebab mengapa tenaga pekerja kita lebih mementingkan jaminan pekerjaan berbanding kerja yang memberi peluang baru.

“Ini kerana kerja yang memberi peluang baru agak berisiko dan tidak menjamin manfaat,” katanya.

Menurut See, ia juga mungkin disebabkan kerana responden sudah mempunyai pendapatan yang mencukupi untuk menanggung gaya hidup mereka di mana “perasaan dibayar gaji rendah” mungkin bermaksud keinginan untuk meraih lebih banyak pendapatan dan bukannya keperluan untuk meneruskan kelangsungan hidup.

“Sememangnya terbukti bahawa rakyat Malaysia ingin menambah pendapatan tetapi berhadapan dengan kekangan seperti jaminan pekerjaan, masa, dan komitmen untuk mengejar pekerjaan sampingan atau bebas.”