Kumpulan hak asasi Lawyers for Liberty (LFL) hari ini mengecam pihak berkuasa Singapura, mendakwa wujud gangguan dan intimidasi terhadap ibu Nagaenthran K Dharmalingam ketika dia bersiap untuk hadir di mahkamah bagi pihak anaknya, selepas gagal mendapatkan peguam yang sanggup mewakili banduan warga Malaysia itu dalam usaha akhir menyelamatkannya dari tali gantung.
Penasihat LFL N Surendran berkata dalam penghujahan Pejabat Peguam Negara Singapura, ia menuntut Panchalai Supermaniam mendedahkan nama mereka yang membantunya dalam menyediakan permohonannya di mahkamah.
“Pagi ini, kami dikejutkan apabila mendapati wakil peguam negara di mahkamah membuat intimidasi, mengganggu dan memberi tekanan yang tidak wajar kepada Panchalai,” katanya.
“Tidak bolehkah seorang ibu meminta bantuan daripada seorang yang baik hati untuk membantunya memfailkan kes di mahkamah bagi menyelamatkan anaknya daripada hukuman gantung? Ini adalah satu ketidakadilan, tindakan kejam dan tidak berperikemanusiaan yang tidak boleh ditoleransi terhadap seorang ibu yang sedang menanggung derita.”
Semalam, Panchalai memfailkan usul jenayah di Mahkamah Rayuan Singapura bagi mencabar keabsahan penghakiman terdahulu atas alasan konflik kepentingan.
Cabaran undang-undang itu diambil berdasarkan alasan hakim yang mengetuai dan menolak rayuan Nagaenthran – iaitu Sundaresh Menon – juga merupakan peguam negara yang mendakwa Nagaenthran dan menyebabkan sabitan kesalahannya.
LFL turut menyifatkan apa yang dialami Panchalai dana anaknya sebagai “penafian terang-terangan terhadap perbicaraan adil”, sambil mendesak peguam negara, kerajaan dan badan kehakiman Singapura menghentikan semua tindakan intimidasi atau ancaman terhadap Panchalai menjelang prosiding petang ini.
Nagaenthran dijadualkan menjalani hukuman mati esok selepas gagal dalam beberapa rayuannya bagi menghentikan hukuman mati yang disampaikan pada 2010 atas kesalahan menyeludup sejumlah kecil heroin ke Singapura.
Penyokong berkata Nagaenthran yang mempunyai skor IQ sebanyak 69 – tahap yang membolehkannya diisytihar sebagai orang kurang upaya (OKU) mental – dipaksa melakukan jenayah tersebut.
Sebelumnya, Nagaenthran dijadualkan menjalani hukuman itu pada November tahun lalu, namun keputusan itu mencetuskan kritikan antarabangsa berikutan statusnya sebagai OKU.
Kesatuan Eropah dan taikun Britain Richard Branson adalah antara yang mengecam keputusan mahkamah tersebut.
Pemimpin kerajaan Malaysia termasuk Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah dan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob turut menulis surat kepada kerajaan Singapura memohon supaya hukuman terhadapa Nagaenthran diringankan.
Petisyen terbaru pengampunan bagi Nagaenthran turut ditolak pada 31 Mac, dua hari selepas Mahkamah Rayuan menolak rayuan terhadap hukuman matinya.