- Iklan -
Berita

Nagaenthran jalani hukuman gantung di penjara Singapura

Hukuman mati itu dilaksanakan selepas lebih sedekad dia menjadi banduan bilik akhir walaupun usaha di peringkat domestik dan antarabangsa dilakukan bagi menghentikannya.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Hukuman mati dilaksanakan pagi ini terhadap Nagaenthran K Dharmalingam selepas disabitkan kesalahan menyeludup dadah ke SIngapura pada 2010.
Hukuman mati dilaksanakan pagi ini terhadap Nagaenthran K Dharmalingam selepas disabitkan kesalahan menyeludup dadah ke SIngapura pada 2010.

Nagaenthran K Dharmalingam dihukum gantung sampai mati pada pukul 6 pagi hari ini walaupun terdapat usaha di peringkat domestik dan antarabangsa untuk menghentikan hukuman mati yang dijatuhkan ke atasnya 12 tahun lalu selepas disabitkan kesalahan menyeludup 43g – bersamaan tiga sudu besar – heroin ke Singapura.

Keluarga Nagaenthran turut mengesahkan dia telah menjalani hukuman itu pagi ini.

Adik lelakinya, Navin Kumar, 22, memberitahu Reuters melalui telefon bahawa hukuman mati itu telah dilaksanakan dan pengebumiannya akan diadakan di Ipoh, Perak.

Hukuman mati Nagaenthran, yang dilaksanakan selepas lebih sedekad menjalani hukuman penjara di Penjara Changi, menerima penolakan ramai ekoran pendirian Singapura yang tetap mahu menggunakan peruntukan hukuman mati selain keputusan hukuman gantung oleh mahkamah selepas mengetahui statusnya sebagai orang kurang upaya (OKU) mental.

Nagaenthran yang didiagnosis mempunyai skor IQ sebanyak 69 – tahap yang membolehkan seseorang itu disytihar sebagai OKU – dilaporkan telah dipaksa untuk melakukan jenayah itu.

Pada awalnya, Nagaenthran dijadualkan menjalani hukuman mati pada November tahun lalu, namun dia mengemukakan rayuan terhadap hukumannya.

Bagaimanapun, Mahkamah Agung Singapura menolak rayuan akhirnya bulan lalu.

Usaha terakhir ibunya untuk menghalang pelaksanaan hukuman mati ke atas Nagaenthran turut gagal selepas usul jenayah yang dikemukakan telah dibatalkan oleh mahkamah.

Hakim Andrew Phang berkata usul jenayah yang difailkan oleh Panchalai Supermaniam adalah satu “percubaan yang telah dirancang” bagi melewatkan proses akhir mahkamah.

Panchalai sendiri hadir di mahkamah ketika prosiding selepas tidak berjaya mendapatkan khidmat peguam bagi mewakili anaknya.

“Kami mahu dia hidup,” katanya dengan bantuan penterjemah.

Hukuman mati Nagaenthran turut mencetuskan kecaman di peringkat antarabangsa, di mana Kesatuan Eropah dan taikun Britain Richard Branson turut mengecam keputusan tersebut.

Pemimpin kerajaan Malaysia termasuk Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah dan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob turut menulis surat kepada kerajaan Singapura merayu keringanan hukuman diberikan kepada Nagaenthran.