- Iklan -
News

Pelarian ‘lapar’ dan ‘bahaya’ yang mendedahkan hipokrisi kita

Kejahilan orang ramai berhubung isu pelarian tidak mengejutkan memandangkan menteri dalam negeri sendiri turut kerap menyerang golongan itu.

Abdar Rahman Koya
2 minit bacaan
Kongsi

Baru-baru ini, polis Kedah membuat satu pengumuman yang sangat aneh.

Ia merupakan amaran kepada orang ramai, bahawa pelarian Rohingya yang melepaskan diri dari kem tahanan minggu lalu berada dalam keadaan lapar dan merupakan bahaya kepada orang ramai, seolah-olah mereka adalah haiwan pemangsa yang menunggu untuk membaham warga Malaysia yang memiliki kad pengenalan biru.

Kenyataan itu sungguh mendukacitakan, tetapi tidak mengejutkan bila mana ia tidak menerima kecaman. Bahkan ada yang mengambil kenyataan itu secara serius, sehinggakan sebilangan penduduk tempatan terdorong untuk turut memburu lelaki, wanita dan kanak-kanak yang “merbahaya” itu, walaupun kebanyakan mereka berkaki ayam, terpinga-pinga dan lemah.

Di media sosial pula, ramai rakyat Malaysia menyerlahkan kejahilan mereka apabila mengalu-alukan kenyataan polis itu secara membuta-tuli.

Mereka bahkan menggesa pihak berkuasa untuk menangkap “penceroboh” itu, dalam komen-komen yang dimuat naik ketika sedang bersiap menikmati juadah berbuka puasa dalam keadaan selesa bersama keluarga di rumah.

Kejahilan orang ramai berhubung isu pelarian ini tidak mengejutkan.

Kita saksikan bagaimana menteri dalam negeri kerap menyerang komuniti ini, dan tindakan pihak berkuasa termasuk imigresen dan polis menggunakan sumber mereka melancarkan operasi bertubi-tubi terhadap golongan yang malang ini, seolah-olah memberikan satu makna baru pula dalam soal mempertahankan sempadan negara dan memerangi jenayah.

Akhirnya, suara yang waras datang daripada menteri besar Kedah – beliau tampak jauh terkehadapan berbanding ahli-ahli politik liberal yang dikenali rakyat Malaysia kebelakangan ini.

Muhammad Sanusi Md Nor mencabar naratif yang kononnya pelarian terlepas dari kem tahanan itu merbahaya dan mengancam orang ramai.

“Mereka bukan satu ancaman. Yang mengancam keselamatan adalah penjenayah seperti pengedar dadah,” katanya seperti dilaporkan.

Kenyataan Sanusi itu ialah respons kepada apa yang cuba digambarkan polis mengenai ratusan pelarian yang melarikan diri itu.

Sejak mengambil alih jawatan penting sebagai menteri dalam negeri, Hamzah Zainuddin, dilihat sering mengeluarkan kenyataan anti pelarian.

Sudah beberapa kali Hamzah memberitahu pelarian dan pendatang untuk mencari negara lain jika mereka mendapati kerajaan Malaysia menyusahkan hidup mereka.

Dilihat dari sudut yang lain, ucapan-ucapan menghina pelarian oleh Hamzah dan penyokongnya sungguh memualkan, lebih-lebih jika seseorang itu mengambil kira bagaimana Islam bermula.

Ini sedikit sejarah ringkas untuk Hamzah: Seperti agama-agama besar yang lain, Islam bertahan pada awal permulaan dakwahnya disebabkan pengorbanan penganutnya yang terpaksa berhijrah dan menjadi pelarian. Sehinggakan tahun berlakunya Hijrah – yang menyaksikan sekumpulan umat Islam ditindas di Mekah berpindah ke Madinah mengharungi perjalanan ratusan batu – dijadikan asas dalam kiraan takwim Islam.

Jika Malaysia, sebagai satu-satunya negara Asia Tenggara di mana Islam diangkat menjadi agama rasmi, enggan menerima umat Islam yang dihalau keluar dari tanah air mereka, ia menyerlahkan tahap kemunafikan di kalangan sesetengah orang, dan mendedahkan pekung yang ada dalam kepercayaan mereka sendiri.

Paling kurang, tunjukkan sedikit simpati sesama Islam, walau ia hanya sekadar kosmetik bagi golongan pelarian ini semasa bulan puasa, seperti mana yang pernah ditunjukkan beberapa tahun lalu di bawah slogan perpaduan umat.

Atau sekurang-kurangnya, mereka yang menggerakkan sokongan kepada pelarian Rohingya dengan pelbagai ucapan dan sepanduk berwarna-warni ketika itu, perlu bersuara mempertahan golongan yang terus dirundung malang ini.

Abdar Rahman Koya merupakan ketua pegawai eksekutif dan pengarang MalaysiaNow.